
GERIK, 7 SEPT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan mendapatkan rakaman kamera perangkap (camera trap) di sepanjang laluan pendakian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki yang dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata Perhilitan akan mendapatkan khidmat Team Pelindung bagi tujuan itu bermula esok dan ia antara langkah SAR yang diselaraskan menerusi mesyuarat antara agensi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.
“Rakaman kamera perangkap itu antara usaha akan digunakan bagi membantu pasukan mendapatkan maklumat berkaitan pergerakan di sepanjang jalur pendakian dan mengenal pasti sebarang petunjuk yang boleh membantu operasi pencarian.
“Sementara itu, pihak polis telah memohon untuk mendapatkan bantuan keanggotaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan bantuan alat komunikasi selain bersama-sama membantu dari segi keanggotaan dan persenjataan bagi keselamatan pasukan SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sayani berkata team SAR yang dianggotai bomba, polis, Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan Jabatan Perhutanan akan masuk melalui jalur pendakian bermula dari Kg Lelar, Pos Kemar menuju ke Last Know Position (LKP), iaitu lokasi terakhir mangsa.
Selain itu, beliau berkata helikopter Mi-17 JBPM dari Pangkalan Udara Subang akan tiba di Pos Kemar pada 3 petang ini selepas melakukan tinjauan udara bermula 2 petang di kawasan jalur pendakian sekitar Gunung Sepat dan Gunung Belatoh.
“Operasi di lapangan hari ini melibatkan 59 anggota terdiri daripada 25 bomba, Jabatan Perhutanan Perak (10), MGP Kelantan (lapan), MGP Perak (enam) serta MGP Perak daripada komuniti Orang Asli Pos Kemar (10),” katanya.
Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43 dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos.
Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 September dan ahli keluarga membuat laporan polis semalam.





