
Rakaman Pengumuman Taufan Di Jepun Tular
Baru-baru ini, satu rakaman video yang memaparkan pengumuman amaran taufan di Jepun tular di media sosial dan menarik perhatian ramai.
Bak kata netizen, bagi mereka yang pertama kali mendengarnya, suasananya seakan-akan babak dalam filem kecemasan.
Menerusi video yang dikongsikan, kedengaran suara amaran bergema di kawasan awam ketika cuaca mula menunjukkan tanda-tanda buruk.
Ramai netizen mengakui bunyi pengumuman tersebut membuatkan mereka berasa cemas walaupun hanya menonton dari skrin telefon.
Taufan Jangmi badai Jepun
Difahamkan, amaran tersebut dikeluarkan ketika Jepun berdepan dengan Ribut Tropika Jangmi atau Taufan No. 6.
Ribut berkenaan membawa hujan lebat dan angin kencang yang melanda sebahagian besar Pulau Honshu pada Rabu, sekali gus mencetuskan amaran banjir di beberapa kawasan.
Menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun, sekurang-kurangnya 23 orang dilaporkan cedera. Manakala, 57 buah rumah mengalami kerosakan akibat cuaca buruk tersebut.
Jalan ditenggelami air, penduduk diminta berpindah
Antara kawasan yang terjejas termasuk Kanagawa dan Tokyo. Beberapa jalan raya dinaiki air sehingga ada lokasi mencatatkan kedalaman banjir sekitar 30 sentimeter.
Kawasan berhampiran Stesen Kawasaki turut dilaporkan mengalami banjir sementara. Manakala, sebahagian laluan lebuh raya di daerah Ota, Tokyo turut ditenggelami air.
Lebih membimbangkan, pihak berkuasa sebelum itu mengeluarkan arahan pemindahan Tahap 4 kepada penduduk di beberapa kawasan di Tokyo, Kanagawa dan Chiba. Bagaimanapun, ia ditarik balik selepas keadaan beransur stabil.
Di Wilayah Wakayama pula, amaran banjir khas Tahap 5. Ia adalah tahap tertinggi dalam sistem amaran Jepun yang pernah dikeluarkan selepas limpahan Sungai Kozagawa menyebabkan beberapa rumah dinaiki air.
Baca juga:Pengangkutan lumpuh, ratusan penerbangan dibatalkan
Selain ancaman banjir, ribut tersebut turut menjejaskan sistem pengangkutan di Jepun.
Perkhidmatan kereta api di beberapa laluan utama mengalami kelewatan dan pembatalan. Manakala, angin kencang turut menyebabkan dahan pokok tersangkut pada kabel elektrik di beberapa laluan rel.
Dalam sektor penerbangan pula, kesannya lebih ketara apabila kira-kira 760 penerbangan domestik dan lebih 90 penerbangan antarabangsa dibatalkan.
Lapangan terbang utama termasuk Haneda turut terkesan, menyebabkan ribuan penumpang terpaksa mengubah rancangan perjalanan mereka.
Ribuan rumah terputus bekalan elektrik
Cuaca buruk itu juga menyebabkan lebih 12,000 kediaman di kawasan Kanto-Koshin mengalami gangguan bekalan elektrik.
Selain itu, sekitar 1,800 isi rumah di bandar Ome dilaporkan terputus bekalan air, dengan pihak berkuasa memaklumkan proses pemulihan mungkin mengambil masa beberapa hari.
Walaupun Ribut Tropika Jangmi kini bergerak menjauhi kawasan terjejas, pihak meteorologi Jepun terus mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap risiko tanah runtuh, paras sungai yang meningkat, ombak besar serta banjir susulan.




