Keluarga Pulang Dari Cuti, Objek Misteri Berlegar Dalam CCTV Buat Pemilik Rumah Terkejut, Serangga Atau Entiti?

4 Jun 2026 • 6:01 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Keluarga Pulang Dari Cuti, Objek Misteri Berlegar Dalam CCTV Buat Pemilik Rumah Terkejut, Serangga Atau Entiti?

KUALA LUMPUR – Ada rakaman CCTV yang sekadar merakam rutin harian, namun ada juga yang berjaya membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya berasa seram sejuk. Itulah yang berlaku kepada sebuah keluarga apabila satu objek misteri dilihat berlegar-legar di ruang tamu rumah mereka ketika rumah itu kosong ditinggalkan sepanjang tempoh bercuti.

Satu perkongsian di Threads oleh pengguna @_safaqusyairi mencuri perhatian ramai selepas beliau memuat naik rakaman CCTV yang didakwa memaparkan objek bercahaya terbang berlegar-legar di ruang tamu rumahnya ketika beliau dan keluarga pulang bercuti.

Menurut perkongsian tersebut, kejadian itu disedari isterinya ketika memeriksa rakaman CCTV untuk memantau kucing peliharaan mereka selepas mereka pulang daripada cuti Gawai.

“Wife saja-saja check CCTV pantau anak-anak bulus kami, tiba-tiba ternampak sesuatu terbang berpusing-pusing di ruang tamu rumah,” tulisnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kejadian itu pertama kali dilihat dalam rakaman CCTV rumah mereka walaupun isterinya kerap memeriksa rakaman tersebut sebelum ini.

Kucing Turut Perasan Kehadiran Objek Tersebut?

Lebih menarik, pengguna itu mendakwa kucing peliharaan mereka seolah-olah menyedari kewujudan objek berkenaan dalam rakaman tersebut.

Menjawab komen seorang pengguna lain, beliau berkata pada mulanya menyangka ia hanyalah pantulan cahaya daripada kamera CCTV. Namun selepas meneliti rakaman dengan lebih lama, beliau merasakan objek itu bergerak secara berbeza.

“Anak bulus pun perasan benda itu terbang-terbang,” katanya.

Perkongsian itu segera mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga Threads. Ada yang mengaitkannya dengan perkara mistik seperti “pelesit” dan “toyol”, manakala sebahagian lagi memberikan penjelasan yang lebih logik.

Seorang pengguna berpendapat objek tersebut mungkin hanyalah sarang labah-labah atau benang halus yang terkena cahaya inframerah kamera, manakala ada juga yang beranggapan ia mungkin serangga kecil seperti nyamuk atau lalat yang terbang berhampiran lensa CCTV.

“Kalau kucing tak takut, maksudnya tak ada apa yang perlu dirisaukan. Mungkin serangga,” komen seorang pengguna.

Setakat ini, tiada kepastian mengenai identiti sebenar objek yang dirakam itu, namun rakaman berkenaan terus menjadi topik perbincangan dan teka-teki dalam kalangan netizen. – The Malaysian Update

The post Keluarga Pulang Dari Cuti, Objek Misteri Berlegar Dalam CCTV Buat Pemilik Rumah Terkejut, Serangga Atau Entiti? appeared first on The Malaysian Update.