
LUAR NEGARA – Persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan kadangkala tidak pernah pudar, walaupun kehidupan membawa setiap insan ke haluan yang berbeza. Itulah yang menyentuh hati ramai apabila seorang anggota polis bertemu semula rakan sekolah lamanya yang kini bekerja sebagai buruh binaan.
Satu video tular di Indonesia mengundang perhatian ramai apabila anggota polis berkenaan berhasrat membelikannya sebuah motosikal selepas mengetahui rakannya itu berdepan kesukaran untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.
Kisah itu dikongsikan menerusi akaun media sosial anggota Polres Lamongan, Jawa Timur, sebelum turut mendapat perhatian platform media digital Indonesia, Indozone.
Pertemuan Tidak Disangka
Pertemuan berlaku ketika anggota polis terbabit menjalankan program kebajikan sempena Jumaat Berkah di sebuah sekolah di Desa Sidobinangun.
Sebaik menyedari individu yang ditemuinya merupakan rakan sekolah lama, kedua-duanya berpelukan dan berbual mengenai kehidupan masing-masing selepas sekian lama terpisah.
Menurut perkongsian itu, rakan lamanya pernah cuba berniaga menggunakan modal yang pernah dibantu oleh anggota polis berkenaan, namun perniagaan tersebut tidak berjaya dan dia kini mencari rezeki sebagai buruh binaan.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu turut memaklumkan dia tidak mempunyai motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja serta menghantar anak ke sekolah setiap hari.
Mendengar perkara itu, anggota polis berkenaan menyatakan hasrat untuk membelikannya sebuah motosikal bagi meringankan beban yang ditanggung.
Reaksi Netizen
Video tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji keprihatinan anggota polis berkenaan.
Seorang pengguna berkata, rakannya itu sebenarnya mahu memeluk dan menepuk belakang anggota polis berkenaan, namun bimbang tangannya yang kotor akibat bekerja akan mengotorkan pakaian seragam polis.
Seorang lagi netizen yang mendakwa lelaki dalam video itu merupakan abang iparnya turut mengucapkan terima kasih kepada anggota polis tersebut kerana sudi membantu.
Pada masa sama, ada juga netizen berkongsi pengalaman pernah membantu rakan yang kini berjaya, namun tidak lagi mengenalinya apabila bertemu semula. Kisah itu membuatkan ramai menyifatkan persahabatan sejati bukan diukur melalui kedudukan atau kekayaan, sebaliknya keikhlasan ketika susah dan senang. – The Malaysian Update
The post Rakan Lama Kini Buruh Binaan, Polis Janji Belikan Motosikal appeared first on The Malaysian Update.





