
Bagi sesiapa sahaja, kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi apabila pemergiannya berlaku terlalu awal.
Begitulah yang dirasai rakan-rakan sekolah seorang murid dikenali sebagai Anggel, yang meninggal dunia akibat demam denggi.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, gurunya yang menggunakan akaun @desss_92 memuat naik video menyayat hati memaparkan rakan-rakan sekelas Anggel berlari keluar dari kawasan sekolah untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
Walaupun hujan sedang turun, mereka tetap berdiri di tepi jalan sambil melambaikan tangan ke arah van yang membawa jenazah Anggel.
Menurut gurunya, ibu Anggel membawa jenazah anaknya melalui kawasan sekolah buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

"Anggel, hari ini Mama kamu membawa kamu melalui sekolah buat kali terakhir. Tempat yang pernah menjadi sebahagian daripada hari-hari kamu, tempat kamu belajar, bermain dan mencipta kenangan bersama guru serta rakan-rakan.
"Cikgu dan rakan-rakan kamu berdiri untuk memberikan penghormatan terakhir," katanya.
Dalam pada itu, @desss_92 turut meluahkan rasa sedih mengenangkan pemergian Anggel, apatah lagi apabila terpaksa menerima hakikat bahawa anak muridnya itu sudah tiada.
Beliau turut mengenang sikap Anggel yang disifatkan sebagai seorang murid yang ramah dan tidak pernah lupa menegurnya setiap kali mereka bertemu.
Baca juga:"Berat rasanya untuk melepaskan pemergian kamu, apatah lagi apabila teringat senyuman manis kamu setiap kali bertemu cikgu.
"Selamat jalan, anak cantik Anggel. Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada keluarga besar sekolah kita.
"Ketahuilah, nak, kami semua sayangkan Anggel. Kamu akan sentiasa mempunyai tempat di hati dan dalam kenangan kami," luahnya.
Rakan Sekelas Sanggup Beri Lambaian Terakhir

Sementara itu, menerusi satu perkongsian lain, @desss_92 memaklumkan pihak sekolah telah mengambil langkah pencegahan dengan melakukan semburan kabus bagi menghapuskan nyamuk pembawa denggi.
Langkah itu diambil selepas kehilangan salah seorang anak didik mereka akibat penyakit berkenaan, selain bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Pihak sekolah turut mengingatkan orang ramai supaya lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran, termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk seperti bekas yang menakung air.


