
AMPANG: Jenazah pelakon, Cico Harahap, 48, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, kira-kira pukul 6.15 petang tadi.
Kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan selebriti serta kenalan rapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Ampang, pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah dibawa ke Surau Taman Bukit Mulia, di sini, untuk dimandi, dikafan dan disolatkan.
Antara rakan selebriti yang hadir ialah Datuk Yusof Haslam, Aziz M Osman, AR Badul, Ellie Suriaty dan Sabree Fadzil.
Turut hadir ialah rakan baik Allahyarham, Datin Safiah Ibrahim, yang juga isteri kepada penyanyi legenda, Datuk Hail Amir, selain Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez serta wakil Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Allahyarham Cico atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Menurut Sandakiah, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.
Allahyarham yang juga anak kepada penyanyi legenda, Uji Rashid, 73, meninggalkan seorang anak perempuan, Rindu Nur Fitrah, hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Nur Fuziani Abdullah.
Cico yang mula aktif dalam dunia lakonan sejak 1993 dilaporkan berdepan masalah kesihatan sejak penghujung 2016.
Selain mendapatkan rawatan di hospital, ibunya, Uji Rashid turut dilaporkan membawa Allahyarham menjalani rawatan perubatan Islam. – UTUSAN
The post Jenazah Cico selamat dikebumikan appeared first on Utusan Malaysia.






