Selari pelancaran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan, kerajaan melalui Menteri Digital turut mengumumkan pelancaran program Rakyat Digital. Rakyat Digital merupakan kesinambungan daripada pengenalan program “AI Untuk Rakyat” sebelum ini yang telah disertai lebih 1 juta rakyat tempatan dalam mempelajari asas kecerdasan buatan atau AI.

Pengenalan ini dilihat merupakan usaha kerajaan untuk memposisikan pelbagai pembelajaran berkaitan pengetahuan digital di laman sehenti. Sementara domain ai.gov.my yang digunakan untuk program “AI untuk Rakyat” pula kini digunakan oleh Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan.
Melalui laman Rakyat Digital, pengguna boleh mengikuti sebanyak tiga kursus pembelajaran asas, iaitu “CyberSAFE untuk Rakyat” memfokuskan pengetahuan berkaitan risiko dan keselamatan digital, “Generative AI” yang memfokuskan pembelajaran berkaitan kecerdasan buatan janaan, dan juga program “AI Untuk Rakyat” untuk mendapatkan pengetahuan asas berkaitan kecerdasan buatan.
Ia turut diperlihatkan tidak lama lagi kursus “Data Untuk Rakyat” akan ditawarkan dibawah Rakyat Digital, memfokuskan kepada mengetahui kaedah penggunaan dan memahami sesuatu data dalam kehidupan harian.
Semua kursus ini ditawarkan secara percuma, dan sijil turut disediakan apabila berjaya selesaikan sesuatu kursus. Pengguna boleh mendaftar menyertainya menggunakan akaun Google atau emel di laman Rakyat Digital.


