
PETALING JAYA – Rakyat Malaysia dinasihatkan mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan tidak penting ke Perancis susulan demonstrasi yang sedang berlangsung di bandar-bandar utama negara itu.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudah cara bantuan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia sekiranya
diperlukan.
Katanya, setakat ini tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas akibat demonstrasi tersebut.
“Walaupun tiada sekatan perjalanan ke Perancis, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan bertambah baik.
“Kementerian menggesa rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan Kedutaan Besar Malaysia di Paris mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, mereka yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan digalakkan untuk berbuat demikian melalui platform e-Konsular Kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
“Rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Perancis juga digalakkan untuk mendaftarkan butiran perjalanan mereka melalui e-Konsular serta memantau perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh Kedutaan dan pihak berkuasa Perancis yang berkaitan.
“Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Paris menerusi talian +33 1 45 53 11 85 atau talian kecemasan selepas waktu pejabat di +33 6 32 44 65 71,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat dinasihat tangguh perjalanan tidak penting ke Perancis appeared first on Kosmo Online.






