Rakyat Malaysia dinasihatkan tangguh perjalanan ke Perancis

18 Oct 2026 • 2:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rakyat Malaysia dinasihatkan tangguh perjalanan ke Perancis

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan tidak penting ke Perancis susulan demonstrasi yang sedang berlangsung di beberapa bandar utama negara itu.

Wisma Putra memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan demonstrasi berkenaan, namun setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terlibat atau terjejas.

Menurut kenyataannya tersebut, Kedutaan Besar Malaysia di Paris turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan keselamatan semasa.

“Walaupun tiada sekatan perjalanan ke Perancis, rakyat Malaysia digalakkan menangguhkan urusan yang tidak mendesak sehingga keadaan kembali pulih.

“Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudah cara bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia, jika diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia yang menetap di Perancis supaya memastikan Kedutaan Besar Malaysia di Paris mempunyai maklumat perhubungan terkini mereka.

“Mereka yang belum berdaftar dengan kedutaan digalakkan berbuat demikian melalui platform e-Konsular Kementerian di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan jika berlaku kecemasan,” katanya.

Bagi mendapatkan bantuan konsular segera, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Paris menerusi talian +33 1 45 53 11 85 atau talian kecemasan selepas waktu pejabat di +33 6 32 44 65 71.

Sebarang pertanyaan dan permohonan bantuan turut boleh dikemukakan melalui e-mel par.consular@kln.gov.my, manakala Wisma Putra akan terus memantau keadaan dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

Media antarabangsa melaporkan, polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan terhadap penunjuk perasaan di bandar raya Paris, Lyon dan Strasbourg di Perancis, yang membantah kenaikan kos sara hidup di seluruh negara itu.

Kementerian Dalam Negeri Perancis merekodkan 140 aksi bantahan di seluruh negara menjelang tengah hari, membabitkan 32,800 peserta, selain 166 ditahan di seluruh negara.

Sehingga 170,000 penunjuk perasaan dijangka berhimpun di seluruh Perancis, dengan antara 30,000 hingga 60,000 daripadanya bertumpu di Paris sahaja.

Perancis mempunyai sejarah demonstrasi besar-besaran termasuk gerakan Yellow Vests atau Jaket Kuning yang tercetus pada 2018 susulan bantahan terhadap kenaikan harga bahan api dan tekanan kos sara hidup. – UTUSAN 

The post Rakyat Malaysia dinasihatkan tangguh perjalanan ke Perancis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved