
KOTA BHARU - Rakyat di negeri ini sudah tidak sabar untuk memohon lesen bagi mendulang emas dan menunggu kerajaan negeri mengumumkan lokasi yang boleh berbuat demikian.
Rata-rata mereka menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan permohonan lesen mendulang emas di bawah Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001 menetapkan hanya rakyat negeri ini sahaja dibenarkan memohon lesen berkenaan mulai Januari depan.
Peniaga dari Pasir Mas, Elani Yahya, 40, berkata, dia dan suami begitu teruja untuk mendapatkan lesen serta mencuba mendulang emas.
"Saya tahu emas ada banyak di Kelantan tetapi tidak sangka sekarang kerajaan negeri membenarkan kami (rakyat) mendulang.
"Kami hanya menunggu pengumuman lokasi mendulang, bimbang memasuki kawasan kebun atau tanah orang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut ibu kepada empat anak itu, harga lesen RM100 setahun sangat memadai.
Bagi pelajar kolej, Qistina Batrisya Abdullah, 18, dia mengikuti tentang perkara ini melalui media sosial.
"Saya dan rakan-rakan ada memasang angan-angan hendak mendulang emas untuk mencuba pengalaman baharu.
"Mungkin dengan cara ini kami dapat cari duit lebih untuk biayai pengajian di kolej. Terima kasih kerajaan Kelantan bagi peluang keemasan ini kepada kami," katanya.
Begitu juga dengan Nur Alyaa Maisarah Muhamad, 18, dia ada membaca di media sosial, syarat usia minimum pemohon lesen mendulang akan dimaklumkan nanti.
Katanya berharap, diusianya itu boleh memohon lesen kerana dia sudah tidak sabar untuk mendulang emas.
"Tengok di media sosial macam seronok, jadi hendak cuba juga. Lagipun lesen hanya RM100 sebulan, jika dapat pulangan berganda, apa salahnya mencuba.
"Cuma sekarang tertunggu-tunggu lokasi yang lebih tepat lagi, Kerajaan Kelantan hanya umum Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli. Bukan lokasi yang tepat untuk mendulang," katanya.
Sementara itu, Mohd Haruzi Ibrahim, 48, yang bekerja sendiri berkata, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti mendulang membolehkan rakyat dapat merasai sendiri hasil bumi yang ada di Kelantan.
Ujarnya, ia dapat membantu memberi pendapatan tambahan kepada penduduk.
"Saya harap semua rakyat dapat mengambil manfaat peluang yang diberikan ini," katanya.



