Rakyat mahu kestabilan, bukan berpolitik sepanjang masa - PM

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 1:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat mahu kestabilan, bukan berpolitik sepanjang masa - PM
Anwar. - Foto: Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli Parlimen supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukan politik, sebaliknya memberi ruang kerajaan menjalankan amanah berdasarkan mandat rakyat.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, persaingan politik hanya perlu berlaku ketika pilihan raya dan bukannya sepanjang masa sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pentadbiran negara.

"Tentang mendengar suara rakyat, kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang.

"Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa. Jadi beri masa, kita ada mandat, sampai pilihan raya kita bertempur pula.

"Saya tidak ada masalah itu. Cuma jangan masing-masing terlalu yakin. Saya pun tidak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai sama ada kerajaan bercadang mengembalikan mandat rakyat dengan membubarkan Parlimen bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang membangkitkan isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Anwar menjelaskan, perkara tersebut akan dibincangkan secara berhemah dalam Kabinet.

Menurut beliau, isu berkenaan perlu dirujuk serta dibincangkan bersama Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang bertanggungjawab terhadap agensi berkenaan.

"Untuk PTPTN, saya akan bincang dengan baik. Johor pun dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi, kita runding dengan baik.

"Soal PTPTN itu kita bincang dengan Menteri KPT," ujarnya.

Isu pemansuhan PTPTN kembali menjadi perhatian selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini membangkitkan mengenai janji pemansuhan pinjaman berkenaan, sedangkan portfolio PTPTN kini berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang diterajui wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved