Rakyat Malaysia digesa tangani isu kesihatan mental lebih awal - Noor Hisham
zulfadli
13/10/2023 - 11:23
KUALA LUMPUR 13 Okt - Orang ramai digesa untuk mengutamakan kesihatan mental dan kesejahteraan dengan menangani isu tersebut dengan lebih awal, menurut Pengerusi Penjagaan Kesihatan Kumpulan UCSI, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham berkata, tiada siapa yang harus menderita dengan isu kesihatan mental secara dalam diam.
Katanya, menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kelesuan, kemurungan dan kebimbangan menyebabkan ekonomi global mengalami kerugian sekurang-kurangnya AS$1 trilion setiap tahun.
"Kurang daripada 40% orang yang mengalami masalah kesihatan mental menerima rawatan. Di Malaysia, angka itu berada pada kira-kira 20% disebabkan stigma sosial dan kurangnya kesedaran tentang kesihatan mental," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu melancarkan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Universiti UCSI.
Pusat itu katanya, akan memajukan pemahaman kolektif tentang kesejahteraan manusia melalui penyelidikan.
Menerusi kerjasama dengan pihak sekolah, organisasi dan komuniti, ia akan mengesan faktor tekanan lebih awal.
"Pusat Penyelidikan Kesejahteraan UCSI menangani keperluan ini dengan memacu penyelidikan berbangkit yang memberi tumpuan kepada kebahagiaan, daya tahan mental dan kecerdasan emosi.
Tambah beliau, pusat itu akan memberi kesan kepada masyarakat melalui jangkauan komuniti dan penyelidikan penyertaan.
Sementara itu, Naib Canselor UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pusat itu mempunyai potensi besar dalam bidang penyelidikan dan impak kemasyarakatan.
"Walaupun pusat itu akhirnya merupakan tempat untuk menjana pengetahuan baharu, ia juga boleh menjadi saluran untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya mereka dalam segmen B40," katanya.
Katanya, pusat itu boleh mendapat manfaat daripada geran penyelidikan kerajaan selepas mewujudkan dirinya sebagai hab kecemerlangan penyelidikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. - DagangNews.com



