Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Perjalanan Ke Negara Terjejas

5 Mar 2026 • 10:39 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kementerian Luar Negeri mengeluarkan nasihat perjalanan terkini bagi kawasan konflik di Timur Tengah serta notis evakuasi rakyat terkandas.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman X Wisma Putra, rakyat Malaysia dinasihat agar menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas konflik terbabit.

“Nasihat ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah,” jelas kenyataan tersebut.

Difahamkan, nasihat perjalanan itu berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

Susulan itu, pihak kementerian meminta kerjasama daripada semua pihak, termasuk agensi pelancongan.

Antara negara yang disenarai Wisma Putra termasuk Republik Islam Iran, Bahrain, Republik Iraq, Jordan dan Kuwait. Begitu juga Lubnan, Oman dan Qatar.

Baca juga:

Usaha evakuasi rakyat Malaysia

Sementara itu, usaha membawa rakyat Malaysia yang terkandas berikutan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.

“Usaha evakuasi ini juga meliputi rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar,” maklum kementerian tersebut.

Berikutan itu, rakyat Malaysia digesa membuat pendaftaran dan mengemas kini maklumat perhubungan diri dengan kadar segera melalui Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia terdekat.

Individu berkenaan juga boleh membuat sedemikian menerusi laman e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

Pihak kementerian juga memaklumkan bahawa Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara terjejas telah menyalurkan bantuan konsular serta berkongsi maklumat perancangan kontigensi bersama rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik.

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia yang berada di negara terjejas digesa supaya sentiasa berada dalam tahap kewaspadaan tinggi serta mengelak daripada berada di kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam.

Wisma Putra turut menasihati rakyat yang berada di sana agar mematuhi sepenuhnya arahan pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.