Baru-baru ini, tular penemuan dua keping gambar menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Dokumen itu ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.
Susulan itu polis mengesahkan individu berkenaan berkhidmat sebagai tentera upahan asing.
Lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Kedah itu sebelum ini mengalami kecederaan selepas terkena serpihan dron tentera Russia, pada pertengahan Oktober lalu.
Memohon secara talian
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis telah menerima maklumat lelaki itu masih hidup dan berada dalam keadaan selamat di Ukraine.
“Risikan yang dijalankan juga mendapati lelaki itu telah memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang dengan tentera Rusia.
“Siasatan mendapati lelaki terbabit berada di Ukraine sejak April lalu dan menjalani latihan ketenteraan.
“Faktor yang mendorong lelaki itu untuk menyertai perang di Ukraine adalah kerana minat dalam ketenteraan dan tawaran gaji antara AS400 (kira-kira RM1,700) hingga AS2,700 (kira-kira RM12,000) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang,” katanya.
Selain daripada tawaran gaji, tekanan daripada keluarga juga antara faktor dia mencari pekerjaan di luar negara.
Tambah Razarudin, semasa serangan dron Rusia berlaku pada pertengahan Oktober lalu, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri, namun kad pengenalan dan lesen memandunya telah tercicir manakala pasportnya masih berada bersamanya.
Individu berkenaan juga dikesan tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti sosial, namun sebaliknya dia lebih memberi tumpuan kepada aktiviti permainan dalam talian berbentuk peperangan dan amat berminat menjadi tentera.
Sumber: Berita Harian
The post ‘Rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine masih hidup’ – KPN appeared first on The Reporter.


