Rakyat Malaysia ke Thailand perlu bawa lesen memandu fizikal

25 Aug 2026 • 4:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rakyat Malaysia ke Thailand perlu bawa lesen memandu fizikal

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menggunakan kenderaan sendiri dinasihatkan membawa lesen memandu asal dalam bentuk fizikal bagi memudahkan urusan pemeriksaan pihak berkuasa negara itu.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada lesen memandu digital menerusi aplikasi MyJPJ ketika memandu di Thailand.

Katanya, dokumen penting lain termasuk pendaftaran kenderaan, insurans dan dokumen berkaitan juga perlu dibawa sepanjang perjalanan.

“Dokumen penting termasuk pendaftaran kenderaan, insurans dan dokumen lain yang diperlukan turut hendaklah dibawa sepanjang perjalanan bagi memudahkan urusan pemeriksaan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 di sekitar Mukim Ko Taeo, Songkhla .
Turut hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Ahmad Fahmi berkata, langkah berkenaan penting berikutan pihak berkuasa Thailand kini giat meningkatkan penguatkuasaan peraturan lalu lintas termasuk terhadap kenderaan dari Malaysia.

“Beberapa pemandu rakyat Malaysia dilaporkan telah dikenakan saman atas kesalahan berkaitan dokumentasi dan lalu lintas.

“Sehubungan itu, sebarang saman hendaklah dijelaskan melalui saluran rasmi dan resit pembayaran perlu disimpan sebagai rekod,” katanya.

Ahmad Fahmi turut mengingatkan rakyat Malaysia yang memandu atau menunggang kenderaan di Thailand supaya sentiasa memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar selain mematuhi semua peraturan lalu lintas ditetapkan pihak berkuasa negara itu.

Tambah Ahmad Fahmi, rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke Pattani, Yala dan Narathiwat supaya meningkatkan tahap kewaspadaan susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku di Wilayah Selatan Thailand baru-baru ini.

“rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke kawasan berkenaan dinasihatkan supaya mempertimbangkan semula perjalanan yang tidak penting, khususnya ke kawasan yang terjejas.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan yang berlaku insiden keselamatan, demonstrasi, atau perhimpunan besar serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand, termasuk berkaitan sebarang perintah berkurung, penutupan jalan raya dan pemeriksaan keselamatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan pada waktu malam di kawasan yang terjejas, selain sentiasa mengikuti pengumuman rasmi serta memaklumkan jadual perjalanan kepada ahli keluarga terdekat masing-masing. – UTUSAN

The post Rakyat Malaysia ke Thailand perlu bawa lesen memandu fizikal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved