Rakyat Malaysia lebih banyak berbelanja untuk melancong walaupun bimbang risiko kelembapan ekonomi - Mercury Securities

29/04/2025 - 11:56
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 April - Rakyat Malaysia lebih banyak berbelanja untuk melancong dengan purata perbelanjaan setiap pelancong meningkat antara 15% hingga 25% di Matta Fair 2025, walaupun bimbang terhadap risiko kelembapan ekonomi, kata Mercury Securities.
Katanya, kerajaan juga akan menyemak semula sasaran pertumbuhan tahun ini berikutan perkembangan global seperti dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Malaysia (KDNK) Malaysia sebanyak 4.1% manakala unjuran Bank Dunia ialah 3.9%, kedua-duanya lebih rendah daripada unjuran kerajaan antara 4.5% hingga 5.5%.
"Prospek pengguna Malaysia kekal kukuh, disokong kadar pengangguran yang rendah (3.1%), inflasi yang stabil, peningkatan pendapatan boleh guna dan pengukuhan nilai ringgit, yang menjadikan perjalanan ke luar negara lebih mampu milik.
"Tinjauan selama dua hari di Matta Fair mendapati ramai pengguna selesa membuat bayaran deposit antara 10% hingga 20% serta menggunakan pelan ansuran 0% selama tiga hingga 12 bulan," katanya dalam satu nota kajian.
Mercury Securities berkata, perancangan perjalanan tertumpu kepada destinasi Asia-Pasifik seperti China, Jepun, Thailand dan Vietnam, dengan keutamaan terhadap perjalanan jarak dekat dalam rantau ini, menunjukkan sikap praktikal dan kepekaan terhadap nilai.
Pelancongan domestik juga kekal popular disebabkan tawaran yang menarik.
Katanya, pengembangan syarikat penerbangan dan inisiatif kerajaan telah menyokong pemulihan ini, dengan promosi daripada Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air meningkatkan minat pengguna. Perkhidmatan ulang-alik percuma ke pameran juga meningkatkan kehadiran dan jualan.
Firma penyelidikan itu berkata, tempahan perjalanan kebanyakannya adalah untuk suku keempat 2025 dan awal 2026, didorong musim perayaan dan tawaran tempahan awal.
"Walaupun terdapat ketidaktentuan berterusan mengenai tambang penerbangan dan tarif, rakyat Malaysia kekal tidak bimbang mengenai perkara itu.
"Dengan keyakinan seperti yang ditunjukkan dalam Indeks Keyakinan Pengguna Ipsos, dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, kami menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam sektor pelancongan, pelancongan domestik dan penerbangan," katanya.- DagangNews.com
featured standard

