Sektor pembinaan diramal kukuh walaupun terdapat risiko gelombang baharu Tarif Trump, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2025 • 10:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor pembinaan diramal kukuh walaupun terdapat risiko gelombang baharu Tarif Trump, kata HLIB

image is not available

23/04/2025 - 10:18

Gambar tapak pembinaan oleh NAIM/DagangNews Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Sektor pembinaan Malaysia diramal kekal kukuh walaupun berdepan risiko makroekonomi yang semakin meningkat susulan galombang baharu tarif Amerika Syarikat (AS), kat Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran tentang risiko gelombang kedua yang semakin ketara – terutamanya kelemahan berkaitan perdagangan dan kemungkinan pengurangan perbelanjaan modal pusat data.

"Hari Pembebasan" yang disambut pada 3 April menyaksikan pengenalan tarif besar-besaran ke atas lebih 180 rakan dagang global, dengan negara-negara ASEAN dikenakan kadar timbal balik antara 10% hingga 49%.

Walaupun AS menangguhkan tarif timbal balik selama 90 hari bermula 9 April 2025 bagi memberi ruang kepada rundingan, kekurangan kemajuan telah menyebabkan pasaran kekal berhati-hati.

HLIB berkata, Indeks Pembinaan Kuala Lumpur (KLCON) telah jatuh sebanyak 4.3% sejak pengumuman tersebut, menjadikan jumlah penurunan setakat tahun ini kepada 12.4%.

Firma penyelidikan itu turut menyatakan bahawa kerja pembinaan berkaitan perdagangan, yang secara sejarahnya merangkumi antara 9% hingga 12% daripada aliran tahunan (RM2 bilion hingga RM4 bilion), kini berdepan penangguhan pelaburan apabila pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Pada pandangan kami, sifat tarif yang berubah-ubah boleh menyebabkan penangguhan keputusan pelaburan yang memberi kesan kepada aliran kerja industri, tidak termasuk pusat data.

"Semakan saluran menunjukkan, beberapa pelabur mungkin mengurangkan pelaburan atau pengembangan dalam tempoh ketidaktentuan ini dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya dalam satu nota kajian.

HLIB menekankan, aktiviti tender kekal rancak dan anugerah kontrak pusat data dan dijangka meningkat mulai suku kedua, dengan projek mega berkemungkinan direalisasikan pada separuh kedua tahun ini.

Firma penyelidikan itu juga berkata, petunjuk awal daripada saluran perjanjian bekalan elektrik (ESA) Tenaga Nasional Bhd menunjukkan kapasiti infrastruktur tenaga meningkat sebanyak 26% kepada 5.9 gigawatt (GW), yang sering menjadi petanda awal kepada aktiviti pembinaan.

Namun begitu, risiko tetap wujud memandangkan trend sejarah menunjukkan bahawa dalam dua daripada tiga kemelesetan terdahulu, perbelanjaan modal syarikat teknologi besar menurun kira-kira 27% tahun ke tahun — walaupun penurunan ini biasanya diikuti oleh pemulihan yang ketara.

Keterujaan pasaran juga boleh terjejas oleh kemungkinan perubahan terhadap Peraturan Penyebaran AI yang dijangka berkuat kuasa menjelang 15 Mei 2025.

Dengan keadaan luaran yang semakin merosot dan harga minyak jatuh di bawah anggaran Belanjawan 2025 (AS$75–AS$80 setong), HLIB berkata kerajaan mungkin akan merangsang pertumbuhan melalui sektor domestik seperti pembinaan.

Sektor ini mempunyai pengganda produk domestik kasar (KDNK) melebihi dua kali ganda, menjadikannya antara pemangkin ekonomi yang paling berkesan.

Firma itu turut menyatakan bahawa kerajaan telah mula menggabungkan elemen inisiatif pembiayaan swasta (PFI) ke dalam projek rel seperti pakej Penang LRT STC (RM3 bilion) dan permintaan untuk cadangan bagi pembangunan sistem transit pantas autonomi Johor Bahru (RM8 bilion). - DagangNews.com

featured standard