
KUALA LUMPUR - Bermula tahun depan, rakyat Malaysia perlu mendapatkan dokumen dalam talian dikenali sebagai Sistem Maklumat dan Kebenaran Perjalanan Eropah (ETIAS), sebelum memasuki mana-mana negara anggota Kesatuan Eropah (EU) atau Zon Schengen.
Menurut laman web rasmi ETIAS EU, kebenaran akan dipautkan ke pasport pengembara dan sah selama tiga tahun atau sehingga tarikh luput passport, yang mewajibkan mereka mendapatkan ETIAS baharu.
Menurut laman sesawang itu, ETIAS membolehkan rakyat Malaysia menetap di Eropah sehingga 90 hari.
Jelas laman sesawang tersebut, ETIAS bukan keperluan visa dan hanya bertujuan untuk menyimpan rekod keluar masuk Zon Schengen.
“Rakyat Malaysia diingatkan bahawa ETIAS hanyalah permit kemasukan jangka pendek, bertujuan untuk pelancongan, lawatan santai atau perjalanan perniagaan.
“Mereka tidak perlu membeli polisi insurans perjalanan untuk memasuki mana-mana negara anggota ETIAS,” kata laman sesawang itu.
Katanya, setiap permohonan yang perlu dibuat secara dalam talian akan dikenakan bayaran €7 (RM36) untuk semua individu berusia antara 18 dan 70 tahun.
Sementara itu, bagi kanak-kanak bawah umur dan pemohon berumur lebih 70 tahun, tiada sebarang bayaran dikenakan.
EU berkata, kebanyakan permohonan untuk kebenaran akan diproses dalam beberapa minit tetapi sesetengahnya mungkin mengambil masa sehingga empat hari untuk dipertimbangkan, justeru pelancong dinasihatkan memohon ETIAS lebih awal daripada jadual perjalanan.
“ETIAS akan menjalankan pemeriksaan keselamatan terperinci ke atas setiap pemohon untuk menentukan sama ada mereka dibenarkan memasuki mana-mana negara Zon Schengen.
“ETIAS juga akan memastikan pemohon bukan satu ancaman terhadap keselamatan walaupun mereka adalah penduduk dari negara yang tidak memerlukan visa untuk tujuan perjalanan di EU,” katanya.
Dokumen kebenaran perjalanan ETIAS diperlukan mulai 2024 untuk memasuki Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czechia, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Italy, Latvia.
Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.
Buat masa ini, Malaysia adalah antara ssatu daripada 63 negara yang dibenarkan memasuki kebanyakan negara Eropah tanpa visa. - Getaran, 29 Jun 2023




