Rakyat Pahang dinasihat berwaspada, patuh arahan pihak berkuasa

LocalEnvironment
9 Dec 2024 • 11:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri termasuk Pahang yang dijangka berlaku hingga Rabu ini.

KUANTAN - Rakyat Pahang khususnya yang menetap di kawasan berisiko banjir diminta lebih berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditetapkan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hal ini susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri termasuk Pahang yang dijangka berlaku hingga Rabu ini.

“Utamakan keselamatan diri dan keluarga dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara sekiranya kediaman dinaiki air,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

MetMalaysia pada Isnin memaklumkan keadaan cuaca itu dijangka melanda lima daerah di Pahang, iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran dan Rompin selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.

Seluruh Kelantan dan Perlis pula diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh masa sama selain di Hulu Perak, Perak dan Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Turut dijangka mengalami cuaca itu ialah Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi). - Bernama