'Rakyat perlu berjimat cermat urus ekonomi, gaya hidup'

Politics
31 Dec 2022 • 11:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan masyarakat berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang membimbangkan pada tahun 2023.

Sultan Sharafuddin bertitah, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara ini yang semakin pulih selepas fasa pandemik.

Malah jelas baginda, negara perlu berada pada landasan lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.

"Setiap masyarakat perlu ketepikan fahaman politik dan perbezaan luaran dalam usaha mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang sedang didepani oleh negara yang kita sayangi ini," titah baginda menerusi perutusan Tahun Baharu 2023 di Facebook Selangor Royal Office pada Sabtu.

Tegas Sultan Sharafuddin, baginda tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli politik yang bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.

"'Less talk, more action' (kurangkan bercakap, banyakkan tindakan)," titah baginda.

Dalam pada itu Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan perutusan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

Baginda berdua mendoakan tahun 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk rakyat.