KUALA LUMPUR – Pendidikan percukaian perlu diperkasa segera bagi memastikan rakyat memahami perbezaan, kebaikan serta kelemahan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kefahaman mengenai sistem tersebut penting susulan cadangan kerajaan menggabungkan elemen SST dan GST menerusi sistem cukai hibrid.
"Pendidikan percukaian hendaklah dibuat secepat mungkin oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana masyarakat perlu memahami sistem-sistem cukai yang berbeza.
"Perkara itu perlu diajar dengan pantas, sama ada melalui (saluran) RTM (Radio Televisyen Malaysia), atau platform media lain," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Persidangan Jalan Malaysia ke-13, di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC), pada Rabu.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memaklumkan, kerajaan terbuka melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan kedua-dua sistem percukaian berkenaan bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Beliau yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun menjelaskan, kerajaan akan mengekalkan SST sebagai asas sistem percukaian ketika ini, namun tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri GST yang dilihat sesuai bagi mewujudkan sistem percukaian lebih baik.
Dalam pada itu Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, cadangan untuk mengkaji sistem hibrid merupakan pendekatan wajar diteliti bagi mencari sistem percukaian paling sesuai dengan keadaan negara.
"Perdana Menteri mencadangkan sistem hibrid GST dan SST, ini kali pertama saya dengar.
"Oleh itu saya mencadangkan supaya rakyat diberi kefahaman jelas mengenai sistem berbeza itu," ujarnya.






