‘Rakyat Sabah ada dua pilihan’

LocalPolitics
18 Jul 2025 • 12:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Rakyat Sabah kini berdepan dengan dua pilihan besar untuk menentukan hala tuju Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 – antara agenda Malaysia Untuk Orang Sabah (M4S) atau Sabah Untuk Orang Sabah (S4S).

Ketika S4S dicanang oleh parti-parti politik lokal dengan keutamaan kepada semangat autonomi dan kepentingan negeri, M4S pula dihadirkan dalam bentuk frasa yang lebih menekankan kepada agenda nasional.

Ketua Sekretariat War Room Umno Pusat Datuk Seri Ahmad Maslan (gambar), berkata konsep M4S mempromosikan perpaduan, integrasi, dan kesaksamaan nasional dalam konteks Persekutuan Malaysia sambil tetap menghormati hak dan kepentingan rakyat di negeri ini.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“M4S juga bermakna orang Sabah bukan hanya untuk negeri ini tetapi untuk seluruh Malaysia kerana kita semua 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) berkongsi negara yang sama,” katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita berhubung rumusan lawatan kerjanya ke negeri ini di sini pada Rabu malam, sambil menyifatkan ruang lingkup agenda S4S terbatas berbanding M4S yang lebih meluas dan menyeluruh.

Menurutnya difahamkan antara 200,000 hingga 300,000 orang Sabah kini berada di serata Semenanjung untuk bekerja, termasuk melanjutkan pengajian dan perkahwinan integrasi, sekali gus menunjukkan Malaysia inklusif kepada semua tanpa mengira negeri asal.

“Malaysia untuk seluruh rakyat Sabah bukankah lebih bagus? Orang Sabah boleh pergi ke Sarawak dan Semenanjung, pada masa sama orang Sarawak dan Semenanjung juga boleh menumpang kasih di Sabah.

“Rakyat dari Semenanjung dan Sarawak juga sudah berintegrasi apabila berada di sini (Sabah) memberi khidmat seperti polis, tentera, guru, doktor, jururawat, pekerja teknikal, jurutera dan sebagainya,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengajak rakyat Sabah untuk melihat skop M4S dalam konteks yang lebih luas berbanding S4S, yang disifatkannya sebagai slogan bermusim yang selalu dibangkitkan apabila musim pilihan raya semakin mendekat.

Menyentuh autonomi Umno Sabah, khasnya dalam kuasa memilih calon untuk bertanding pada PRN Ke-17, beliau berkata kaedah rundingan turut digunakan oleh kepimpinan parti yang mendengar dengan teliti setiap usul yang disampaikan.

“Tetapi perlu juga diingat tidak ada orang Semenanjung yang menjadi Ketua Umno dari peringkat bahagian sehingga kepimpinan tertinggi di Sabah dan orang Sabah sendirilah yang mengetuai parti ini di sini,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad memberikan isyarat keperluan Umno-Barisan Nasional (BN) memenangi semua atau majoriti kerusi yang ditandingi jika mahu menjadi magnet untuk menarik parti-parti lain menubuhkan kerajaan perpaduan baharu selepas PRN ke-17.

Mengulas lanjut misi itu disifatkan mampu dicapai jika jentera parti berhasil mengajak rakyat negeri ini supaya membulatkan tekad untuk memenangkan calon Umno-BN yang dijangka bakal bertanding sehingga 30 kerusi.

“Dalam politik tidak ada yang mustahil dan kita boleh memenangi kembali (kepercayaan orang Sabah) untuk Umno-BN bangkit semula kerana rakyat sudah merasa peralihan kuasa beberapa kerajaan,” katanya.

Tambahnya, strategi menghadapi PRN kali ini sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada jentera parti di setiap bahagian untuk dilaksanakan demi memastikan kemenangan calon-calon mereka.