GRS komited hadkan tempoh Ketua Menteri dua penggal

LocalPolitics
18 Jul 2025 • 12:32 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PAPAR: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited meneruskan cadangan mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal sekiranya terus diberi mandat selepas pilihan raya negeri (PRN17).

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara dasarnya, cadangan itu sudah diluluskan di peringkat Kabinet Kerajaan Negeri GRS-PH Plus pada Disember 2023 lalu.

Bagaimanapun, katanya, reformasi itu sebelum ini tidak dapat dibawa untuk pindaan kerana kerajaan tidak mempunyai jumlah sokongan yang kukuh di Dewan Undangan Negeri (Dun).

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Sebelum ini, kita tidak mempunyai jumlah yang stabil untuk pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sabah yang memerlukan (sokongan) majoriti dua pertiga (Adun) di Dun.

“Jadi dalam proses menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) ini, kita memutuskan bahawa kita akan membawanya sebaik kita menerima mandat baru daripada rakyat (selepas PRN17).

“Justeru, GRS mengharapkan sokongan rakyat Sabah untuk kemenangan lebih besar atau dua pertiga pada PRN17 ini kerana komitmen ini adalah perkara pertama yang akan dilaksanakan selepas diberi kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Pelancaran Komuniti Filem 10Star dan Tayangan Perdana Filem ‘Impak Maksima 2’ di 10Star Cinema Parklane Benoni, di sini, Rabu lepas.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas Sdn Bhd, Onn Norshal Hamzah; Pengarah Filem ‘Impak Maksima 2, Datuk Ahmad Idham dan Pengarah Urusan Kumpulan WSG, Datuk Susan Wong.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata syor berkenaan merupakan antara inisiatif utama di bawah teras ‘Sabah United’ bagi manifesto GRS untuk menghadapi PRN17.

Menurutnya, di bawah teras ‘Sabah United’, ikhtiar bukan hanya tertumpu kepada usaha mewujudkan masyarakat Sabah yang bersatu padu tetapi juga komitmen semua rakyat untuk membina tadbir urus lebih baik.

Katanya, selain ‘Sabah United’, terdapat tiga lagi teras utama lainnya iaitu ‘Sabah First’, ‘Sabah Forward’ dan ‘Sabah Prosper’ yang berpaksikan dua komponen penting di bawah manifesto GRS iaitu ‘Ikhtiar dan Komitmen GRS’.

“Ini adalah yang kita bincangkan semasa saya mempengerusikan Mesyuarat Pertama ‘Task Force’ bersama lapan wakil parti komponen GRS Selasa lalu untuk menyediakan dan menggubal manifesto GRS bagi PRN17.

“Semua perincian dalam manifesto GRS ini tertakluk atau tidak lari daripada dua kunci komponen penting dan empat teras perjuangan sebagaimana penubuhan GRS sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, di bawah kerangka manifesto itu juga terkandung perkara mengenai pencapaian GRS sepanjang lima tahun di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (SMJ 1.0).

Katanya, pencapaian itu juga akan dipaparkan dalam dua aspek, pertama adalah “walk the talk” (menunaikan apa yang GRS janjikan) dan kedua adalah “work in progress” (janji yang telah dilaksanakan namun belum berakhir).

“Kita akan paparkan semua pencapaian sepanjang lima tahun pentadbiran GRS di bawah agenda SMJ 1.0 dan pada masa sama turut memaklumkan pencapaian telah dimulakan namun belum berakhir.

“Contoh aspek ‘work in progress’, RUU mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada hanya dua penggal.

“Kerangka manifesto ini masih di peringkat awal, belum dimuktamadkan lagi kerana perlu mendapat syor daripada parti komponen masing-masing, sebelum dimurnikan di Mesyuarat Task Force seterusnya untuk dibawa ke Majlis Tertinggi GRS,” katanya.