Rakyat Sabah bukan harapkan roti! Mereka tuntut kemudahan asas, harga barang stabil – Nurulhidayah

LocalPolitics
14 Nov 2025 • 10:23 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Exco wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid membidas tindakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria yang didakwa menghina rakyat Sabah sempena kempen PRN.

Menurut Nurulhidayah, memperlekehkan rakyat Sabah dengan anggapan bahawa pilihan raya boleh dimenangi hanya dengan memberi roti Gardenia adalah satu pandangan yang cetek dan mempamerkan kejahilan terhadap realiti politik serta maruah rakyat negeri itu.

Rakyat Sabah bukan harapkan roti

image is not available

“Rakyat Sabah bukan mengharapkan roti.
“Mereka menuntut akses kepada pembangunan, peluang pekerjaan yang lebih baik, kemudahan asas, harga barang yang stabil, dan pemimpin yang benar-benar turun melihat nasib rakyat.
“Menghina mereka dengan naratif seperti ini bukan sekadar merendahkan minda pengundi, tetapi juga menunjukkan betapa jauhnya seseorang itu daripada denyut nadi rakyat Sabah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, semalam.

Nurulhidayah yang juga merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut menegaskan bahawa pengundi Sabah tidak mudah dipergula-gulakan seperti yang digambarkan dalam kenyataan tersebut.

“Rakyat Sabah tidak boleh dan tidak akan dibeli dengan roti Gardenia, ‘gula-gula’ atau jajan.
“Sesiapa yang turun ke kampung, ke pulau, ke pedalaman akan tahu bahawa rakyat Sabah jauh lebih matang, jauh lebih berhati-hati, dan jauh lebih bijak daripada label sinis yang cuba dilekatkan pada mereka,” jelasnya lagi.

Katanya, jika ada yang masih percaya ‘roti Gardenia’ boleh menentukan kemenangan, itu adalah kelemahan mereka sendiri yang gagal memahami realiti, gagal bekerja dengan ikhlas, dan gagal menghormati maruah pengundi.

image is not available

Terdahulu, tular di media sosial ucapan Mansor yang juga merupakan Adun Kuala Ketil ketika berbahas di Dewan Undangan Negeri Kedah ‘Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.’

Tindakan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati ramai termasuklah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh.

Sumber: Instagram @Nurulhidayah Ahmad Zahid