Rakyat tak lagi nikmati subsidi telur mulai Ogos

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2025 • 10:07 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula esok, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Lapor Harian Metro, langkah ini diambil selepas pihak industri memberi komitmen untuk memastikan bekalan telur kekal mencukupi susulan kos pengeluaran yang kini lebih stabil. KPKM memaklumkan, ketika musim perayaan Aidilfitri lalu, bekalan telur didapati mencukupi dan ditawarkan pada harga yang kompetitif.

Sejak subsidi telur mula diberikan pada Februari 2022, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung kos pengeluaran yang melonjak akibat pandemik dan konflik antarabangsa. Namun, KPKM menegaskan bahawa pemberian subsidi terlalu lama tidak lagi mampan untuk industri dan kewangan negara.

Malah, subsidi tersebut turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, justeru langkah penyasaran semula ini dianggap lebih adil. Penjimatan hasil daripada pengurangan subsidi akan digunakan untuk projek kesejahteraan rakyat mengikut nilai MADANI.

Bagi mengurangkan kesan kepada kos sara hidup, industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas pada harga berpatutan. Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di outlet FAMA dan LPP.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang manipulasi harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu bekalan telur boleh menyalurkan aduan kepada KPKM menerusi e-mel pro@kpkm.gov.my atau menghubungi 03-8000 8000.