‘Rakyat tempatan lindungi PATI, jejas tindakan penguatkuasaan’ – Amirudin

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 3:31 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika memberi kenyataan mengenai isu PATI dan penempatan etnik Rohingya di Selangor.

Tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk komuniti pelarian etnik Rohingya, berdepan cabaran apabila terdapat dakwaan wujud penglibatan pihak tempatan yang melindungi serta membantu mereka kekal berada di sesuatu kawasan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kewujudan elemen tempatan yang mempertahankan atau melindungi golongan berkenaan menjadi antara cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan tindakan.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan tindakan terhadap individu terbabit, sebaliknya turut memerlukan penguatkuasaan terhadap pihak yang mengambil kesempatan daripada keadaan mereka.

“Penguatkuasaan harus juga melibatkan bukan hanya kepada pihak yang terbabit, tetapi mereka yang terlibat bersekongkol mengambil kesempatan daripada keterdesakan mereka untuk tinggal, bertahan hidup dan keterdesakan itu telah menggerakkan mereka untuk terlibat dengan pekerjaan 3D (kotor, berbahaya dan sukar),” katanya.

Lesen perniagaan

Amirudin berkata, berdasarkan rekod di daerah Hulu Langat, terdapat kira-kira 9,515 orang etnik Rohingya yang dikenal pasti berada di beberapa lokasi, dengan jumlah lebih tinggi direkodkan di kawasan bandar seperti Ampang, Kajang dan Cheras.

Menurut beliau, pihak kerajaan negeri tidak pernah membenarkan pemberian lesen perniagaan atau pemilikan aset kepada golongan berkenaan, namun terdapat situasi mereka tinggal di premis atau tanah yang disewa daripada pihak tempatan.

Katanya, keadaan itu menyukarkan tindakan apabila pemilik tanah atau pihak tertentu perlu mengambil tanggungjawab memulihkan semula kawasan terbabit selepas tindakan penguatkuasaan dibuat.

“Kadangkala tindakan telah diambil, kita sudah robohkan, tetapi keesokan harinya dibangunkan semula. Ini antara kekangan-kekangan kita,” katanya.

Baca juga:
Peranan PBT

Dalam pada itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjual lesen perniagaan kepada golongan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan masalah awam.

“Kita minta pihak PBT supaya ambil tindakan siapa yang menjual ini supaya diambil tindakan ataupun disenaraihitamkan terus kerana ia telah menimbulkan kebimbangan serta masalah awam yang besar,” katanya.

Amirudin turut menegaskan kerajaan negeri perlu mencari keseimbangan antara aspek keselamatan, ketenteraman awam serta isu kemanusiaan membabitkan pelarian yang melarikan diri daripada konflik di negara asal.

Beliau berkata kerjasama antara kerajaan negeri, agensi persekutuan, PBT serta jabatan penguatkuasaan perlu diperkukuhkan bagi memastikan isu penempatan PATI dapat ditangani secara teratur dan berkesan.

The post ‘Rakyat tempatan lindungi PATI, jejas tindakan penguatkuasaan’ – Amirudin appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved