
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan terdapat penduduk tempatan yang dipercayai melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuklah etnik Rohingya yang sekaligus menjadi antara cabaran terbesar kerajaan Selangor dalam membanteras penempatan haram.
Malah menurut beliau, masalah penduduk lokal yang mempertahankan pendatang asing ini juga menyukarkan tindakan penguatkuasaan secara berkesan diambil di negeri terbabit.
Ada Pihak Yang Bantu Pelarian Beli Barangan, Sewakan Premis & Jual Lesen Perniagaan
Jelas Amirudin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini (3 Ogos), terdapat segelintir rakyat tempatan yang bukan sahaja bersimpati dengan golongan tersebut bahkan membantu mereka membeli barangan, menyewakan premis dan tanah serta menjual lesen perniagaan termasuklah di Sungai Tua, Gombak.
Kerajaan Negeri Tak Benarkan PATI Miliki Aset Atau Dapatkan Lesen Perniagaan
Tegasnya, kerajaan negeri tidak pernah membenarkan PATI memiliki aset atau mendapatkan lesen perniagaan.
“Sebahagian komuniti kita bekerjasama dengan mereka. Di kawasan saya (Sungai Tua, Gombak), setiap kali operasi dijalankan di kawasan pasar, ada peniaga tempatan yang membantah.
“Ada elemen tempatan yang mempertahan dan melindungi mereka. Inilah cabaran terbesar. Penguatkuasaan bukan sahaja perlu dikenakan terhadap PATI, tetapi juga kepada individu tempatan yang bersekongkol serta mengambil kesempatan atas keterdesakan mereka untuk tinggal dan mencari rezeki di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Johan Abd. Aziz (BN-Dusun Tua) berhubung isu kebanjiran PATI dan etnik Rohingya di Selangor.
Baca Artikel Berkaitan: Pemilik Tanah Dikaitkan Dengan Penempatan Rohingya Di Hulu Langat Akui Salah & Mohon Maaf
Pelarian Mampu Bayar Saman Yang Banyak, Ada Pihak Yang Sokong Dari Belakang – Amirudin
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu mempercayai terdapat kemungkinan aktiviti PATI ini dibiayai dan disokong oleh pihak tertentu kerana keupayaan mereka untuk menjelaskan jumlah saman tinggi yang dikenakan.
“Saman itu mereka boleh bayar. Tidak mungkin golongan pelarian mampu membayar saman yang besar. Saya percaya mungkin ada rangkaian di belakang yang menyokong mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata tindakan telah diambil terhadap pemilik tanah dengan mengarahkan kawasan tersebut dipulihkan mengikut status asalnya. Bagaimanapun, terdapat juga kes di mana bangunan dirobohkan semula yang mana ia menyukarkan tindakan penguatkuasaan.
Kerajaan Selangor Gesa Tindakan Tegas Kepada Pihak Yang Jual Lesen Perniagaan Kepada PATI
Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menjual lesen perniagaan kepada PATI.
“Mereka perlu disenarai hitam kerana tindakan itu hanya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: “Tutup Pejabat UNHCR Di Negara Ini Jika Enggan Bekerjasama Urusan Pelarian” – Tok Mat
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya






