
JOHOR BAHRU: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri mempertikai tindakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu kekurangan petugas kesihatan, termasuklah di Hospital Pasir Gudang (HPG) yang baharu beroperasi.
Menurut beliau, tindakan Onn Hafiz yang mempertikai Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara berkenaan menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada dalam pengurusan isu.
“Datuk Onn Hafiz Ghazi kini sudah masuk penggal kedua sebagai Menteri Besar tetapi masih dilihat tidak tahu kaedah atau memahami prosedur asas untuk mengisi jawatan kosong bagi sebuah hospital kerajaan.
“Beliau patutnya tahu masalah kekurangan doktor dan kakitangan kesihatan tidak akan selesai dengan hanya membuat kenyataan media atau menyalahkan KKM. Penyelesaian hanya boleh dicapai melalui tindakan pentadbiran tersusun dengan mengemukakan permohonan rasmi kepada KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan Persekutuan.
“Sepatutnya Menteri Besar memanggil KKM, JPA serta semua agensi berkaitan ke Johor untuk mengadakan sesi libat urus dan taklimat mengenai keperluan sebenar Hospital Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga perlu melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan jabatan berkaitan supaya satu tindakan bersepadu dapat dilaksana.
“Ini tanggungjawab seorang ketua kerajaan negeri, bukannya memilih platform media untuk membidas dan melepaskan tanggungjawab.
“Atas sebab itu, adalah tidak wajar Menteri Besar bertindak seolah-olah KKM sengaja melengah-lengahkan perkara tersebut sedangkan kerajaan negeri perlu mainkan peranan menggerakkan proses permohonan mengikut saluran yang betul,” katanya.
Mohd. Solihan turut memberitahu, rakyat Johor tidak perlukan drama politik atau kenyataan populis sebaliknya mahukan tindakan, hasil dan penyelesaian yang sebenar.-UTUSAN
The post Rakyat tidak mahu drama, sebaliknya penyelesaian isu kekurangan petugas kesihatan di Johor appeared first on Utusan Malaysia.






