Rakyat tunggu tindakan, bukan sekadar ulasan 'berita' ekonomi - Mohd Syahir

LocalBusiness & Finance
17 Jun 2026 • 3:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rakyat tunggu tindakan, bukan sekadar ulasan 'berita' ekonomi - Mohd Syahir
Mohd Syahir

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan lebih agresif dan berani dalam menangani isu ekonomi rakyat termasuk pemberhentian kerja, kos sara hidup serta kelemahan pasaran buruh, dan tidak hanya sekadar mengulas perkembangan ekonomi semasa.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, lebih 7,000 pekerja kehilangan sumber pendapatan pada April manakala sekitar 38,000 lagi terjejas sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, setiap angka mewakili sebuah keluarga dan golongan itu mesti diberi pertolongan sewajarnya melalui mekanisme insurans pekerjaan, bantuan kewangan serta khidmat penempatan pekerjaan agar mereka boleh kembali bekerja secepat mungkin.

Menurutnya, ekonomi negara masih belum menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi dan perkara tersebut perlu diakui.

Jelasnya, isu guna tenaga tidak setara dengan kemahiran atau 'underemployment' terus menjadi antara faktor yang menghalang Malaysia mencapai potensi pertumbuhan sebenar.

"Sistem latihan semula tenaga kerja pula masih bersifat reaktif. Kebanyakan latihan diberi selepas seseorang kehilangan pekerjaan, bukannya sebagai langkah persediaan menghadapi risiko tersebut.

"Proses padanan pekerjaan juga belum cukup cekap dan pantas. Justeru, reformasi perlu dipercepatkan bagi merancakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri yang produktif,"  katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau menegaskan, usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta pembangunan kemahiran yang selari dengan keperluan masa depan pasaran buruh perlu diberi keutamaan.

Mohd Syahir berkata, jurang antara angka pertumbuhan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat dapat dirapatkan jika isu sedemikian ditangani dengan baik.

Katanya, persoalan mengenai 'ekonomi berkembang, tetapi mengapa masih ramai hilang kerja' mungkin tidak lagi berbangkit ketika itu.

Beliau turut menyentuh soal kos sara hidup yang kekal menjadi kebimbangan utama rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 serta peningkatan hutang kad kredit dan penggunaan skim 'Buy Now, Pay Later' (BNPL).

Ahli Parlimen Pas itu berpandangan, tekanan kos masih dirasai dalam perbelanjaan asas seperti perumahan, pendidikan dan perkhidmatan meskipun inflasi keseluruhan dilaporkan terkawal.

Menurutnya, kemiskinan pelbagai dimensi termasuk di kawasan bandar masih wujud, selain kebergantungan sebahagian rakyat terhadap bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Pada masa sama, peningkatan hutang kad kredit dan skim BNPL semakin membimbangkan khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Perkembangan ini menuntut perhatian serius daripada Kementerian Kewangan (MoF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) agar daya tahan kewangan isi rumah tidak terus terhakis," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu seperti penyusutan simpanan rakyat, hutang isi rumah yang meningkat, kadar upah rendah serta pertumbuhan gaji perlahan perlu sentiasa diberi perhatian oleh BNM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Atas dasar itu, Mohd Syahir meminta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir supaya lebih berani mengemukakan idea berserta langkah intervensi berpandukan data rasmi dan realiti dihadapi rakyat, majikan serta peniaga.

"Rakyat menantikan tindakan yang lebih agresif, bukan sekadar mengulas ‘berita’ ekonomi," katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved