Ralat MYR/USD Google, BNM minta pengguna pilih saluran betul untuk info forex

Business & Finance
19 Mar 2024 • 12:25 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Tiga hari selepas ditegur Bank Negara Malaysia (BNM), Google Malaysia akhirnya memberi maklum balas kepada ralat data pertukaran MYR terhadap USD. Dalam satu utusan di Twitter (X), Google Malaysia memohon maaf atas kesilapan data dan telah melakukan pembetulan sewajarnya.

Google Malaysia merujuk kepada satu kenyataan media BNM yang diterbitkan pada 16 Mac 2024 tentang kesalahan data tukaran wang. Pada 15 Mac 2024, Google melaporkan MYR didagangkan pada RM4.98/USD walhal data sebenar menurut BNM hanya pada paras RM4.7075/USD.

image is not available

Ini bukanlah kali pertama BNM menegur tentang ralat yang berlaku di platform Google. Kali pertama berlaku juga dalam tahun ini menerusi kenyataan bertarikh 6 Februari 2024. Dalam kenyataan itu, BNM mengatakan yang jual beli MYR terhadap USD berlegar antara RM4.7480/USD hingga RM4.7639/USD berbanding RM6.24/USD yang dilapor platform Google.

BNM dalam kenyataan media kedua akan memanggil pihak Google untuk meminta penjelasan tentang ralat ini dan apakah yang mereka boleh lakukan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

Daripada mana Google dapat data forex?

Semua maklumat-maklumat kewangan Google sebenarnya diperoleh daripada sumber ketiga. Google adalah pihak pengumpul dan paparkan dalam bentuk mudah difahami dan interaktif.

Menurut halaman penafian Google, data pertukaran matawang diperolehi Google daripada Morningstar, sebuah syarikat yang ditubuhkan dalam tahun 1984 dan berpengkalan di Chicago. Mereka menjalankan aktiviti kajian pasaran dan menyediakan servis pengurusan pelaburan.

image is not available

Selain daripada menyatakan daripada manakah mereka beroleh data, Google turut katakan yang pihak mereka tidak boleh menjamin ketepatan data dan meminta anda memastikan kadar tukaran yang tepat sebelum melakukan apa-apa transaksi kewangan.

image is not available

Walaupun dinyatakan dalam laman penafian, Google sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan data yang mereka gunakan. Sebagai enjin carian nombor satu dunia, mereka mampu untuk mempengaruhi tindak tanduk orang lain dan mungkin merosakkan pasaran hasil data yang tidak tepat.

Cara dapatkan kadar tukaran yang tepat

Sekiranya anda rujuk kembali kenyataan media BNM, mereka juga ada menyediakan sumber rujukan yang tepat untuk maklumat tukaran matawang. Anda boleh pergi ke laman Kadar & Statistik BNM dan di sana terdapat banyak maklumat yang ditawarkan secara percuma.

image is not available

Bacaan berkaitan