
Setelah hampir lima tahun menyepi tanpa sebarang kejohanan rasmi, sukan lumba rali kini bersedia membuat kemunculan semula yang gah menerusi MAM – Malaysian Rally Championship 2025 (MRC). Dengan sejarah yang panjang bermula dari era Mickey Mouse Rally, diikuti dengan Rally of Malaysia (ROM) sehingga tahun 2000, serta pengenalan Malaysian Rally Championship pada tahun 2001 yang turut menjadi tuan rumah kepada beberapa pusingan Kejohanan Asia Pasifik (APRC), kini sukan ini bakal hidup kembali!

Kemerosotan penganjuran sejak 2019 akibat ketiadaan badan penganjur akhirnya berjaya diatasi apabila Millennium Motorsport Adventures Club (MMAC) di bawah pimpinan Hj Sutan Mustaffa Salihin, bergabung tenaga bersama Semenyih Eco Ventures Recreation Sdn Bhd, menganjurkan dua pusingan Millennium Iconic Rally Championship (MIRC) di Johor dan Melaka pada tahun 2024. Usaha ini menjadi titik tolak kepada pengiktirafan semula kejohanan rali oleh Motorsport Association of Malaysia (MAM).

Bermula tahun ini (2025), MAM akan kembali menganjurkan 4 pusingan rasmi Malaysian Rally Championship, dengan 3 pusingan dikendalikan oleh MMAC dan satu pusingan istimewa ketika acara Malaysia Festival of Speed (MFOS). Penganjur menjangkakan penyertaan seramai 20 hingga 25 pelumba tempatan serta kehadiran pelumba antarabangsa dari India dan Indonesia.

Namun, cabaran utama kekal dengan ketiadaan penaja rasmi. Oleh itu, pihak penganjur merayu sokongan dari sektor swasta dan korporat bagi memastikan kesinambungan sukan ini. Penganjur juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan rali di Malaysia.
Malaysia, bersedialah… deruman enjin dan debu tanah merah bakal kembali memeriahkan arena permotoran negara!
Teruskan bersama Four Wheels..!
The post Rally Malaysia Kembali Menggegarkan Litar ‘Off Road’ Malaysia appeared first on TW Media.

