Ramai Anak Muda Mahu Jadikan Idola, Pemain MLBB Sekyss Rasa Diri Belum Layak - “Saya Segan Sebenarnya, Perlu Banyak Belajar Lagi”

20 Jul 2024 • 9:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pemain Mobile Legend Bang Bang (MLBB) yang mewakili Yoodo Selangor Red Giants (SRG), Sekyss merasakan dirinya belum layak untuk menjadi idola anak muda yang meminati sukan E-Sport.

 

Rasa segan dan belum layak bergelar idola

Sekyss atau nama sebenarnya Muhammad Haqqullah Ahmad Shahru, 18, dengan rendah diri berkata, kemenangan satu piala antarabangsa belum cukup untuk menjadikannya sebagai seorang idola.

“Saya segan, saya rasa belum layak lagi untuk menjadi idola sebenarnya sebab baru dapat satu piala antarabangsa. Belum cukup lagi untuk menjadi idola,” katanya ketika ditemui Gempak.

Sekyss berkata demikian ketika ditemui semasa SRG menjadi tetamu istimewa untuk siaran langsung TikTok SINAR baru-baru ini.

 

Semakin dikenali

 

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai popularitinya, Sekyss memberitahu dia bersedia untuk berdepan dengan situasi itu.

“Sejujurnya saya belum bersedia sebenarnya sebab saya tiada pengalaman untuk menjadi begitu (popular). Jadi saya perlu banyak belajar lagi. 

“Saya sendiri tidak sangka akan mendapat anugerah Most Valuable Player (MVP) semasa kejohanan itu. 

“Kalau ikutkan saya main hanya untuk menang sahaja. Tak adalah saya target untuk mendapat MVP, tapi alhamdulillah rezeki,” ujarnya.

 

 


Terdahulu, Yoodo Selangor Red Giants (SRG) dinobatkan sebagai juara dunia bagi kejohanan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) MSC 2024.

Sekyss juga turut dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP) dalam aksi Grand Final.

SRG menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-2 di kejohanan Mid Season Cup MLBB 2024.

Kemenangan itu menyaksikan SRG membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah AS$1,000,000 (RM4,669,303.78).