Ramai calon PKR layak jadi Menteri Besar Perak

Politics
3 Nov 2022 • 6:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lih Kang (kiri) menyampaikan watikah kepada Zainal Azman ketika Majlis Pengumuman Calon PKR dan Penyerahan Watikah Calon di sebuah hotel di sini pada Khamis.

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk dipilih sebagai Menteri Besar Perak jika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan di negeri ini.

Pengerusinya, Chang Lih Kang berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan PH memperoleh kemenangan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Jelas beliau, selain calon DUN Kuala Sepetang, Datuk Zainal Azman Abu Seman yang disebut-sebut sebagai Menteri Besar, mereka mempunyai beberapa calon lain untuk diangkat mengisi jawatan itu.

Sesiapa boleh jadi calon menteri besar. Sekarang bukan lagi masanya (untuk tentukan siapa menteri besar). Kita kena menang dulu baru.

"Walaupun semua ini dah dibincangkan tapi bukan masa sesuai untuk umumkan. Kita akan umumkan nanti. Ada orang yang layak jadi calon ada beberapa," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Majlis Pengumuman Calon PKR dan Penyerahan Watikah Calon di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Pada majlis itu Zainal Azman diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi DUN Kuala Sepetang dan menerima watikah bersama-sama calon lain daripada Lih Kang pada Khamis.

Sementara itu, Lih Kang berkata, PKR akan bertanding di 21 kerusi DUN di Perak pada PRU15 ini mewakili PH.

Katanya, sebanyak 17 muka baharu yang akan dipertaruhkan kali ini manakala selebihnya pernah bertanding pada PRU yang lalu.

Beliau berkata, parti itu turut mencalonkan 11 individu berusia di bawah 40 tahun dan lima calon wanita.

Pada Khamis, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan PH menamakan Zainal Azman sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya mereka membentuk kerajaan negeri selepas PRU15.