
Bagi kebanyakan ibu bapa bekerja, ada yang lebih senang menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah bagi urusan penghantaran anak.
Manakan tidak, ada yang terpaksa keluar awal pagi untuk pergi bekerja dan pulang lewat ke rumah.
Pemilihan individu pula berbeza. Ada yang memilih perkhidmatan bas ada juga yang memilih van.
Namun sejak akhir-akhir ini, sering kali kedengaran kisah kurang enak melibatkan pengusaha bas atau van sekolah.
Van Ambil Pelajar Sekolah Tapi Masih Dalam Keadaan Bergerak & Tak Berhenti
Baru-baru ini, tular di media sosial tindakan tidak bertanggungjawab seorang pengusaha van ketika mengambil murid sekolah.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di Facebook, kelihatan pada mulanya van berwarna putih itu seolah-olah sedang mahu berhenti bagi mengambil pelajar.
Pada ketika itu, dapat dilihat seorang pelajar lelaki sedang mendekati van tersebut untuk menaikinya.
Apa yang menjadi perhatian adalah tindakan pemandu van berkenaan yang langsung tidak berhenti dan hanya memperlahankan kenderaan ketika murid berkenaan mahu masuk ke dalam van tersebut.
Ada Pelajar Turun Dari Van, Beri Laluan Pelajar Lain Untuk Naik
Menerusi perkongsian tersebut, dapat dilihat pelajar lelaki berkenaan bersusah-payah memasuki kenderaan tersebut.
Bukan itu sahaja, rupanya ada seorang lagi pelajar dilihat turun dari van tersebut bagi memberi laluan kepada seorang pelajar lagi sebelum masuk semula ke van berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu berlaku semalam (19 Ogos) kira-kira jam 12.53 tengahari.
Polis Tahan Pemandu Van Tak Berhenti Ketika Ambil Pelajar
Terbaharu, seorang pemandu van telah ditahan polis selepas tular rakaman video yang memaparkan kenderaannya menurun dan mengambil dua pelajar dalam keadaan bergerak sehingga membahayakan keselamatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya mengesan video tular itu semalam (19 Ogos) sekitar jam 5.40 petang.
“Hasil semakan mendapati van berkenaan dalam keadaan bergerak ketika menurunkan serta mengambil dua pelajar sekolah.
“Tindakan itu bukan sahaja mengundang risiko terhadap keselamatan pelajar, malah boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Susulan itu, polis berjaya mengesan serta menahan pemandu van tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Jelas Naazron, kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Malah, dia turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein di talian 017-3818422.


Ramai Geram Dengan Tindakan Pemandu Van Langsung Tidak Berhenti
Perkongsian video berkenaan nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengecam dan geram dengan tindakan pemandu van berkenaan yang langsung tidak berhenti ketika mengambil pelajar.
Malah, ramai yang menganggap perbuatan sebegitu amat berbahaya khususnya kepada pelajar dan boleh menyebabkan kecelakaan.
Ini antara komen menarik pengguna TikTok:
“Geram Pula Tengok Eh, Berhenti Jela Dulu, Biar Selamat Budak Tu Turun Naik”

“Jika Begitu Cara Pemandu Van Bawa Budak-Budak Tu, Harap Mak Ayah Ambil Tindakan Sewajarnya”

“Sekolah Anak Saya Ni, Uncle Ni Memang Bawa Tak Ada Brek, Pernah Sekali Suami Marah Dia”

“Kalau Aku Pemilik Dashcam Ni, Aku Hon Pemandu Van Tu, Biar Stop Dulu”

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Warga Emas Dakwa Pening Hingga Tak Sedar Bawa Van Sekolah Lawan Arus [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Aksi Murid Lelaki Keluar Dari Van Sekolah Ikut Tingkap Undang Perhatian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Selamba Pandu Van Sekolah Lawan Arus, Polis Tahan Warga Emas Berusia 74 Tahun [Video]
Source:



