
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, kecoh mengenai isu proses penyembelihan ayam yang tidak menetapi syarak Islam. Sebelum ini, tular di media sosial apabila pekerja warga asing di sebuah premis di Kuala Lumpur didakwa merendam ayam hidup dalam air panas hingga ia mati.
Malah siasatan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengesahkan bahawa premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Aktivis Dakwa Pekerja Warga Asing Jual Ayam Bangkai Tak Sembelih Di Pasar Pudu KL, Ramai Gesa JAKIM Jalankan Siasatan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kecoh Isu Proses Sembelih Ayam: Premis Bukan Milik Bhuiyen & Tiada Sijil Halal – JAKIM
Tular Kes Ayam Yang Dikenakan Renjatan Elektrik Hingga Mati
Dalam satu kes terbaharu, sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik melebihi had ditetapkan pihak berwajib.
Memetik laporan Utusan, kesemua ayam itu dikenakan renjatan elektrik berkuasa 130 volt walhal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan penggunaan voltan yang dibenarkan bagi kaedah itu hanya dibawah 10 volt.
Status halal ayam-ayam berkenaan menjadi tanda tanya kerana dipercayai telah beroperasi selama 10 tahun dan memproses kira-kira 40,000 ekor ayam setiap hari.
Dalam serbuan Ops Taring Chiller Jumaat lalu (30 Oktober), lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas kerana disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal.
Persoalannya, apakah hukum bagi seseorang yang termakan ayam yang tidak disembelih mengikut syarak di luar pengetahuannya?
Tak Berdosa Makan Ayam Tidak Disembelih Jika Tak Tahu Statusnya – Mufti Pulau Pinang
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, sekiranya individu memakan ayam berkali-kali dalam tempoh panjang tanpa mengetahui status sebenar atau tidak sengaja memilih makanan haram, maka ia dikira tidak berdosa.
Jelas Mohd Sukki, individu tersebut juga tidak diwajibkan:
- Membayar kaffarah atau
- Menggantikan makanan yang sudah dimakan atau
- Melakukan amalan tertentu bagi menyucikan diri
Tidak Ada Isu Seluruh Tubuh Badan Jadi Haram Jika Sudah Makan Ayam Tidak Disembelih Tanpa Pengetahuan Seseorang
Beliau menjelaskan bahawa memakan ayam yang tidak disembelih tanpa pengetahuan seseorang tidak bermakna seluruh tubuh badannya menjadi haram atau ibadah yang dilakukan sebelum ini terbatal.
Umat Islam Wajib Berhenti Makan Jika Sudah Tahu Makanan Tidak Halal – Mohd Sukki
Bagaimanapun tegas Mohd Sukki, umat Islam diwajibkan berhenti makan makanan yang tidak halal selepas mengetahui dan mendapat pengesahan tentang statusnya.
“Namun, selepas mengetahui dan mendapat pengesahan sesuatu bekalan ayam tidak halal, umat Islam wajib berhenti daripada memakannya.
“Pada masa sama, masyarakat tidak seharusnya terus membuat kesimpulan semua ayam yang pernah diproses premis itu sepanjang tempoh operasinya adalah bangkai.
“Perkara itu perlu dibuktikan menerusi siasatan pihak berkuasa dan masyarakat juga diingatkan supaya tidak terlalu was-was terhadap makanan yang sudah dimakan pada masa lalu,” katanya, dipetik Berita Harian.
Individu Tak Perlu Siasat Semula Status Setiap Makanan Diambil Jika Pada Awalnya Diyakini Halal – Mohd Sukki
Mohd Sukki berkata, seseorang tidak perlu menyiasat semula status setiap makanan yang pernah dimakan sekiranya ia diperoleh daripada sumber yang secara zahirnya diyakini halal.
Ayam Mati Akibat Direndam Air Panas Atau Direnjat Elektrik Dikategori Sebagai Bangkai
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa haiwan halal seperti ayam hendaklah disembelih ketika masih hidup dan mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.
“Sekiranya ayam itu mati akibat rendaman air panas atau renjatan elektrik sebelum disembelih, ia dikategori sebagai bangkai dan haram dimakan, manakala proses pemotongan leher selepas kematiannya tidak menjadikan daging terbabit halal.
“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah ayat tiga bermaksud ‘Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, darah dan daging babi,” katanya.
Muslim Tak Tanggung Dosa Jika Dari Awal Tak Tahu Ayam Yang Dimakan Tak Disembelih Ikut Hukum Syarak – Mohd Sukki
Berbicara tentang kes proses penyembelihan ayam yang tular, beliau berkata umat Islam tidak menanggung dosa atas perbuatan yang dilakukan tanpa sengaja. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada perbuatan membeli dan memakan ayam itu dalam keadaan tidak mengetahui ia sebenarnya disembelih tanpa mengikut hukum syarak.
“Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud ‘Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau kami tersalah’.
“Kejadian itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berhati-hati dalam memilih sumber makanan, khususnya ayam dan daging.
“Utamakan pembelian daripada pembekal mempunyai pensijilan halal sah dan sumber bekalan jelas. Jangan hanya bergantung kepada pengakuan penjual atau menganggap sesuatu makanan pasti halal semata-mata kerana pemilik premis beragama Islam,” katanya.
Tindakan Tegas Perlu Diambil Terhadap Pihak Yang Tidak Proses & Sembelih Ayam Segar Ikut SOP
Dalam perkembangan terkini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemeriksaan berkala terhadap pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam segar perlu dipertingkatkan. Ini bagi memastikan setiap operasi mematuhi prosedur dan piawaian ditetapkan pihak berkuasa.
Selain itu jelasnya, pengeluar sijil halal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengukuhkan lagi kerjasama bagi memastikan pemantauan terhadap operasi premis terlibat dilaksanakan secara konsisten.
“Serbuan sudah dilakukan dan apa yang sewajarnya diambil adalah tindakan tegas termasuk pendakwaan dan sebagainya supaya kita boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.
“Pengeluar sijil dan PBT perlu bekerja bersama. Pemeriksaan berkala harus dibuat supaya kita boleh memastikan operasi sensitif seperti pusat penyembelihan dapat beroperasi mengikut prosedur dan piawaian yang sepatutnya,” katanya, dipetik Berita Harian.






