
TAMBANG bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah diumumkan kelmarin. Suatu jajaran infrastruktur pengangkutan strategik yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung.
Sebaik diumumkan, pelbagai reaksi dilemparkan antaranya ramai menyifatkan kadar tersebut agak mahal. Jika dihitung kos tiket permulaan kelas Ekonomi perjalanan sehala dari Gombak ke Kota Bharu (KB) bagi individu dewasa adalah RM125.
Bagi keluarga berpendapatan sederhana, dengan bilangan empat orang dewasa kosnya sudah mencecah RM1,000. Itu belum dikira harganya boleh meningkat mengikut permintaan dan ketersediaan tempat duduk. Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.
Pendapat penulis jika mengambil kira masa perjalanan empat dan lima jam masing-masing bagi kelas Ekonomi dan Ekspres ke KB ia amat berbaloi dengan harga tiket.
Itu dilema mereka yang mahu pulang ke KB. Penumpang yang mahu turun di Temerloh atau KotaSAS, Kuantan mungkin melihat harga ditawar itu agak berpatutan dengan masa perjalanan yang ditempuhi.
Cuma pihak berkenaan perlu menjawab persoalan ramai sama ada projek infrastruktur bernilai besar ini mampu menawarkan perkhidmatan yang benar-benar boleh dinikmati oleh rakyat daripada pelbagai lapisan pendapatan.
Seperti infrastruktur rel moden yang lain, keselamatan aset khususnya kabel elektrik, kabel isyarat dan sistem telekomunikasi perlu diberi perhatian serius. Sindiket curi kabel hanya kejar untung.
Natijahnya ia mengakibatkan gangguan operasi, kerugian kewangan serta ancaman terhadap keselamatan pengguna.
Kecurian kabel bukan sekadar kesalahan jenayah harta benda, tetapi boleh menjadi ancaman kepada keselamatan sistem pengangkutan dan kepentingan negara.
Faktornya ringkas, kabel elektrik, telekomunikasi dan landasan tren mengandungi tembaga berharga yang boleh dijual mencecah RM36 sekilogram atau lebih mengikut pasaran gelap.
Sebahagian besar suspek yang ditahan pula didapati positif dadah atau individu yang memerlukan wang tunai segera dan mudah.
Memetik laporan media, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menyatakan kerugian akibat kecurian kabel sepanjang pembinaan projek tersebut mencecah kira-kira RM4 juta termasuk tiga kes pada September 2026.
Selain menempatkan kira-kira 200 anggota polis bantuan di lokasi panas ECRL mulai November, pihak MRL turut memasang kamera litar tertutup, menggunakan khidmat pengawal keselamatan serta mendapatkan kerjasama pihak berkuasa dalam menangani isu itu.
Semoga projek ini mampu menjadi jambatan kemakmuran yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat, membuka peluang pekerjaan, merancakkan pelaburan serta mengangkat daya saing Malaysia di persada dunia.
The post Ramai intai ECRL termasuk sindiket curi kabel appeared first on Kosmo Online.





