ECRL tawar diskaun 30% tiket kelas ekonomi selama sebulan mulai 12 Disember

LocalSales & Promo
20 Oct 2026 • 3:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL tawar diskaun 30% tiket kelas ekonomi selama sebulan mulai 12 Disember Image from: ECRL tawar diskaun 30% tiket kelas ekonomi selama sebulan mulai 12 Disember liza20/10/2026 - 15:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menikmati diskaun 30% bagi tiket kelas ekonomi sepanjang bulan pertama operasi perkhidmatan itu yang disasarkan bermula 12 Disember 2026.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata jualan tiket ECRL dijangka dibuka tidak lama lagi menjelang pelancaran perkhidmatan berkenaan.

 

Beliau berkata, diskaun itu diberikan kepada orang ramai selama sebulan bermula dari hari pertama operasi ECRL.

 

“Sempena pembukaan ECRL, diskaun 30% akan diberikan kepada orang ramai untuk semua tiket kelas ekonomi selama sebulan, bermula dari tarikh operasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

 

Bagaimanapun, diskaun promosi itu berasingan daripada kemudahan konsesi tetap sebanyak 50% yang diberikan kepada golongan sasar termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar.
 

 

Semalam, kadar kelas Ekonomi bagi perjalanan Transit dari Gombak ke Kota Bharu diumumkan bermula serendah RM125 sehala.

 

Tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Ekspres untuk perjalanan sama sejauh 523 kilometer pula bermula serendah RM147 sehala.

 

Bagi perjalanan Gombak ke Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, kadar tambang perkhidmatan Transit bermula RM95 manakala tambang bagi perkhidmatan Ekspres untuk perjalanan sama bermula RM110.

 

Sementara itu, perjalanan Gombak ke KotaSAS sejauh 209 kilometer ditawarkan pada kadar permulaan RM60 bagi Transit dan RM68 bagi Ekspres. Kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.

 

Jemaah Menteri meluluskan diskaun sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.

 

Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula akan menikmati diskaun sebanyak 40 peratus menerusi pendekatan tambang inklusif dan mesra rakyat bagi perkhidmatan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved