Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi tempatan iaitu TuJu sebagai alternatif susulan risiko keselamatan maklumat serta data pergerakan rakyat susulan aplikasi Waze terikat dengan undang-undang kerajaan Israel.
Aplikasi navigasi TuJu itu dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Bahkan semalam (21 Oktober) penjawat awam turut dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Berkuat-Kuasa Serta Merta, Penjawat Awam Dilarang Guna Aplikasi Navigasi Waze
Young Shefura persoal kesediaan aplikasi TuJu sebagai alternatid aplikasi navigasi
Terbaharu orang ramai yang menggunakan aplikasi TuJu menzahirkan rasa kecewa dengan prestasinya ini termasuklah Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Bahkan beliau turut mempersoalkan kesediaan aplikasi itu untuk bertindak sebagai alternatif kepada Waze.
Young Shefura menyuarakan perkara itu ketika di Dewan Rakyat dan mengatakan beliau telah memuat turun aplikasi tempatan tersebut namun mendapati prestasi TuJu tidak memuaskan.
Manakala orang ramai turut membangkitkan mengenai kerisauan mereka terhadap pelbagai kekurangan yang ada pada aplikasi terbabit.
Kecewa dengan aplikasi TuJu
“Saya sendiri sudah memuat turun aplikasi TuJu, tetapi sejujurnya ia agak mengecewakan.
“Kita juga melihat maklum balas daripada masyarakat yang menyatakan aplikasi ini masih belum cukup bersedia untuk digunakan pada masa ini,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Justeru itu, Young Shefura meminta pihak Kementerian Digital untuk menjelaskan mengenai aplikasi terbabit sama ada ia telah cukup matang untuk menggantikan platform navigasi yang sering menjadi rujukan seperti Waze.
Menteri Digital akui aplikasi TuJu masih perlu diperkemas dan diperkukuh
Gobind Singh Deo yang merupakan Menteri Digital lalu tampil menjawab soalan tersebut dan mengakui bahawa perkhidmatan aplikasi tempatan berkenaan masih perlu diperkemas serta diperkukuh.
Tambah Gobind, aplikasi yang dibangunkan bersama dengan LLM di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) berkenaan asalnya direka bagi menyediakan maklumat berhubung:
- Keadaan trafik lebuh raya
- Plaza tol
- Kawasan rehat dan rawat (R&R)
- Paparan kamera litar tertutup (CCTV)
Perkhidmatan aplikasi TuJu sedang diperluas
Akan tetapi jelasnya perkhidmatan aplikasi TuJu ketika ini sedang diperluas bagi merangkumi aliran trafik di jalan raya yang menghubungkan ke lebuh raya.
Menurut beliau lagi, kerajaan melalui insiatif GovTech juga bakal meneroka kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk memantapkan lagi aplikasi navigasi tersebut termasuklah aplikasi tempatan yang lain.
Beliau juga memaklumkan larangan penggunaan Waze bukan kepada seluruh rakyat Malaysia, sebaliknya ia hanya melibatkan penjawat awam sepeerti yang ditarifkan di bawah Perlembagaan Persekutuan semasa melakukan tugas rasmi.
Orang ramai bebas guna aplikasi navigasi lain selain TuJu – Gobind
Namun menurutnya, orang ramai boleh menggunakan apa sahaja aplikasi bagi membantu pengguna memantau keadaan trafik.
Pengguna jalan raya bebas menggunakan aplikasi navigasi lain selain TuJu, yang dibangunkan sebagai alternatif bagi membantu pengguna memantau keadaan trafik di lebuh raya kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo. https://t.co/9nzEz9icid
— Astro AWANI (@501Awani) October 22, 2026
LLM dedah TuJu sedang jalankan pemulihan dan penambahbaikan
Dalam pada itu, LLM turut memaklumkan pihaknya mengambil maklum berhubung respon daripada orang ramai mengenai gangguan teknikal yang dialami aplikasi TuJu.
Perkara itu susulan jumlah penggunaan yang meningkat selepas Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi navigasi tempatan.
LLM menerusi satu kenyataan media turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh para pengguna.
“LLM bersama penyedia aplikasi, Progsinal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pengguna.”
LLM beri perhatian kepada respon pengguna
Jelasnya, dalam masa yang sama, LLM turut memberikan perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung:
- Fungsi navigasi
- Ketepatan maklumat laluan
- Pengalaman penggunaan aplikasi
Menurut LLM lagi penambahbaikan bakal terus dilakukan untuk memastikan aplikasi terbabit dapat memberi perkhidmatan yang lebih:
- Stabil
- Tepat
- Mesra pengguna
TuJu sediakan kemudahan berkaitan keadaan trafik, bantuan kecemasan dan sokong keperluan pengguna
“TuJu yang mula diperkenalkan pada 26 November 2025, merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama LLM. Selain maklumat perjalanan, aplikasi ini menyediakan kemudahan berkaitan keadaan trafik, kemudahan dan bantuan kecemasan bagi menyokong keperluan pengguna sepanjang perjalanan di lebuh raya.
“LLM memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang diharapkan.
“Sehubungan dengan itu, usaha memperkukuh TuJu bukan sahaja tettumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan funsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna,” ujarnya lagi.
Oleh itu, selaras dengan keutamaan bagi memperkukuh keselematan siber digital negara, LLM akan terus bekerjasama dengan:
- KKR
- Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)
- Pihak berkaitan dalam memperkukuhkan ekosistem navigasi tempatan termasuk aspek keselamatan, tadbir urus data yang perlu diberi perhatian
Ramai beri komen mengenai penggunaan TuJu
Terdahulu ramai pengguna di media sosial menyuarakan pendapat serta kebimbangan mereka mengenai aplikasi TuJu. Malah ada yang turut meragui ciri keselamatan aplikasi itu apabila didakwa meminta maklumat seperti:
- Pembayaran
- Kewangan
- Penggunaan data dan sebagainya
“Sebagai pakar keselamatan siber, nasihat aku adalah jangan muat turun dan jangan guna TuJu buat masa sekarang ni. Aku memang tiada kepercayaan dengan aplikasi kerajaan yang tiba-tiba seakan muncul macam ni”

“Aplikasi sangat teruk, semua pun kena buka kepada laman luar”

“Saya dah guna TuJu hampir setahun. Ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dengan segera jika ingin ia berjaya menjadi alternatif terbaik kepada aplikasi navigasi yang lain.”




