Ramai sanggup berhutang beli pendingin hawa

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2026 • 4:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ramai sanggup berhutang beli pendingin hawa

MELAKA – Cuaca panas melampau ketika ini menyebabkan permintaan terhadap pendingin hawa meningkat secara mendadak apabila sebuah syarikat peralatan elektrik di negeri ini turut merekodkan jualan sehingga 30 unit sehari.

Pengarah AF Energy, Muhammad Hanaffi Saleh berkata, pendingin hawa kini bukan lagi dianggap sebagai peralatan elektrik mewah, sebaliknya menjadi keperluan utama pengguna terutama ketika negara berdepan fenomena El Nino.

Menurutnya, jualan pendingin hawa syarikatnya kini meningkat sehingga 60 peratus berbanding kebiasaan, dengan kebanyakan pelanggan sanggup mendapatkannya menerusi pembelian secara ansuran.

“Untuk musim panas ini, sambutan memang meningkat sekitar 60 peratus berbanding biasa dengan anggaran 30 unit pendingin hawa terjual dalam sehari. Pasukan kami turut membuat pemasangan terus kepada pelanggan.

“Daripada jumlah pelanggan yang membeli, hampir kesemuanya memilih untuk membuat ansuran, kami memahami keadaan ekonomi ketika ini kerana itu kita memang menyediakan kemudahan bayaran berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan premis pameran baharu AF Energy Group di One Krubong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Hanaffi berkata, rata-rata pengguna terdiri daripada mereka yang telah berkeluarga dan memilih unit yang menawarkan penjimatan tenaga.

“Harga pendingin hawa ini ditawarkan bermula sekitar RM800 bergantung kepada jenis dan kategori termasuk model inverter serta bukan inverter.

“Ramai yang membeli secara terus di premis adalah daripada mereka yang telah berkeluarga dan memilih pendingin hawa yang menawarkan penjimatan tenaga serta penggunaan jangka panjang,” katanya.

Tambahnya lagi, antara luahan yang sering diterima daripada pelanggan adalah rasa kasihan terhadap anak-anak kecil yang terpaksa berdepan keadaan panas dan berpeluh di rumah. – KOSMO! ONLINE

The post Ramai sanggup berhutang beli pendingin hawa appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved