
MELAKA – Cuaca panas melampau ketika ini menyebabkan permintaan terhadap penyaman udara meningkat secara mendadak apabila sebuah syarikat peralatan elektrik di negeri ini turut merekodkan jualan sehingga 30 unit sehari.
Pengarah AF Energy, Muhammad Hanaffi Saleh berkata, penyaman udara kini bukan lagi dianggap sebagai peralatan elektrik mewah, sebaliknya menjadi keperluan utama pengguna terutama ketika negara berdepan fenomena El Nino.
Menurutnya, jualan penyaman udara syarikatnya kini meningkat sehingga 60 peratus berbanding kebiasaan, dengan kebanyakan pelanggan sanggup mendapatkannya menerusi pembelian secara ansuran.
“Untuk musim panas ini, sambutan memang meningkat sekitar 60 peratus berbanding biasa dengan anggaran 30 unit penyaman udara terjual dalam sehari. Pasukan kami turut membuat pemasangan terus kepada pelanggan.
“Daripada jumlah pelanggan yang membeli, hampir kesemuanya memilih untuk membuat ansuran, kami memahami keadaan ekonomi ketika ini kerana itu kita memang menyediakan kemudahan bayaran berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan premis pameran baharu AF Energy Group di One Krubong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhammad Hanaffi berkata, rata-rata pengguna terdiri daripada mereka yang telah berkeluarga dan memilih unit yang menawarkan penjimatan tenaga.
“Harga penyaman udara ini ditawarkan bermula sekitar RM800 bergantung kepada jenis dan kategori termasuk model inverter serta bukan inverter.
“Ramai yang membeli secara terus di premis adalah daripada mereka yang telah berkeluarga dan memilih penyaman udara yang menawarkan penjimatan tenaga serta penggunaan jangka panjang,” katanya.
Tambahnya lagi, antara luahan yang sering diterima daripada pelanggan adalah rasa kasihan terhadap anak-anak kecil yang terpaksa berdepan keadaan panas dan berpeluh di rumah. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai sanggup berhutang beli penyaman udara appeared first on Kosmo Digital.




