'Ramai suami pilih diam, buat isteri makan hati' – Ozlynn kongsi rahsia rumah tangga, komunikasi jadi kunci bahagia

Family & ParentingLifestyle
20 Apr 2026 • 6:24 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Ramai suami pilih diam, buat isteri makan hati' – Ozlynn kongsi rahsia rumah tangga, komunikasi jadi kunci bahagia

BUKAN semua kebahagiaan rumah tangga datang daripada perkara besar.

Kadang-kadang, ia bermula daripada perkara paling asas, cara suami isteri berkomunikasi, bagaimana mereka mendengar, dan sejauh mana mereka sanggup untuk jujur antara satu sama lain.

Bagi pelakon dan penyampai radio, Ozlynn Wati, keharmonian rumah tangga bukan sesuatu yang boleh dibina dengan andaian atau perbandingan, sebaliknya ia bergantung kepada keserasian dan cara pasangan itu sendiri mengurus emosi serta komunikasi harian.

Isteri kepada pelawak, pelakon dan pengacara terkenal, Johan Raja lawak itu cukup terkenal dengan sikapnya yang suka berterus terang.

Sekadar makluman, Ozlynn dan Johan mendirikan rumah tangga pada 25 Julai 2009. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata, iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania, Nur Latifah Moleiq Hanania, serta Nur Latifah Cherdiq Hanania.

Pemilik nama sebenar, Rozlinawaty Ismail mengakui, setiap hubungan sebenarnya berbalik kepada pasangan itu sendiri. Tiada satu formula yang boleh disamakan untuk semua orang kerana setiap individu mempunyai cara berfikir dan emosi yang berbeza.

“Kalau suami tu seorang yang suka share dengan isteri, bagi saya itu tak ada masalah. Johan dengan saya memang jenis macam tu. Kami tak suka pusing belakang, kami fokus ke depan,” katanya.

Image from: 'Ramai suami pilih diam, buat isteri makan hati' – Ozlynn kongsi rahsia rumah tangga, komunikasi jadi kunci bahagia

Konflik lama

Tambahnya, terlalu memikirkan perkara lalu hanya akan merosakkan kebahagiaan yang sedang dibina, apatah lagi jika konflik lama terus dibawa ke dalam kehidupan semasa.

“Apa yang jadi lepas, kalau kita bertelagah dengan sesiapa pun, mereka mungkin dah bahagia. Tapi kita yang masih terperangkap, kita takkan rasa bahagia,” ujarnya.

Baginya, kejujuran suami menjadi asas penting dalam memudahkan komunikasi rumah tangga. Sikap Johan yang tidak suka berselindung memudahkan mereka berbincang apa sahaja perkara tanpa tekanan.

“Kalau tak ada, dia cakap tak ada. Kalau boleh, dia cakap boleh. Kalau tak boleh, memang tak boleh. Bila suami jujur, senang untuk isteri berbincang,” jelasnya.

Namun dalam masa sama, mengakui ramai suami memilih untuk diam kerana tidak mahu isteri terasa atau terbeban dengan masalah mereka.

“Communication itu sangat penting. Kadang-kadang suami tak nak cerita sebab tak nak isteri terasa atau rasa terbeban. Tapi sebenarnya, berkongsi itu penting,” katanya.

Menurutnya lagi, bukan sahaja apa yang dikatakan penting, tetapi cara menyampaikannya juga memainkan peranan besar dalam hubungan.

“Kalau lelaki cakap, ‘I tak suka you macam tu’ dengan nada kasar, memang isteri boleh sentap. Tapi kalau cara dia lebih lembut, hasilnya akan berbeza,” katanya.

Tambah pelakon filem Libang Libu itu lagi, setiap pasangan perlu memahami karakter masing-masing kerana hanya mereka yang benar-benar tahu cara terbaik untuk menegur tanpa melukakan hati pasangan.

“Kita je tahu pasangan kita macam mana. Jadi kita kena pandai bawa diri dan saling faham,” ujarnya.

Image from: 'Ramai suami pilih diam, buat isteri makan hati' – Ozlynn kongsi rahsia rumah tangga, komunikasi jadi kunci bahagia

Win-win situation

Dalam pada itu, wanita berusia 44 tahun itu turut menegaskan bahawa membandingkan pasangan sendiri dengan orang lain adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Orang tak boleh samakan isteri dia dengan saya. Johan macam ni, tapi mungkin lelaki lain tak sama. Tapi kalau dia nak isteri dia jadi macam saya, itu tak boleh,” katanya.

Akhirnya, Ozlynn percaya bahawa kunci sebenar rumah tangga bahagia adalah apabila kedua-dua pihak saling memahami dan tidak mementingkan diri.

“Suami kena faham isteri, isteri kena faham suami. Itu saja. Win-win situation,” kongsinya ringkas.