Ramai Tak Percaya ‘Mowgli Malaysia’ Dah Besar! Ini Perkembangan Terkini Syukor Khamis

Entertainment
8 Oct 2024 • 1:15 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pernah tular beberapa tahun lalu, gambar ikonik seorang budak lelaki bersama kerbau ternakan bapanya sehingga digelar ‘Mowgli Malaysia’.

Budak lelaki bernama Syukor Khamis yang berusia 14 tahun ketika itu dirakam oleh jurugambar Dallah Dean dan gambar tersebut bukan sahaja meraih perhatian netizen Malaysia, malah turut diiktiraf di pentas antarabangsa.

Mowgli Malaysia dah besar!

Baru-baru ini, Syukor Khamis kembali menjadi sorotan apabila GiatMARA Malaysia berkongsi gambar terkini ‘Mowgli Malaysia’ di laman Facebook sebagai salah seorang pelajar di institut tersebut.

Difahamkan, dia kini telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Motosikal selama 6 bulan di sebuah institut kemahiran di Pusat GiatMARA Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Perkongsian itu nyata membuatkan netizen terkejut kerana merasakan seperti baru sahaja melihatnya bermesra dengan haiwan-haiwan ternakan.

Kini jadi mekanik motosikal

Dia yang juga dikenali sebagai ‘budak kerbau’ kini mula berjinak dalam bidang automotif dengan mengusahakan bengkel motosikal di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

Katanya, bengkel berkenaan diusahakan bersama abangnya selepas menamatkan pengajian di GiatMARA.

Minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi mendorongnya berkecimpung dalam bidang ini dengan cita-cita untuk memiliki sebuah bengkel yang canggih dan berteknologi tinggi suatu hari nanti.

Syukor berkata walaupun sibuk menguruskan bengkel, dia masih lagi menguruskan haiwan ternakan.

Menurutnya, haiwan ternakan tersebut merupakan kawan baik dan hatinya tidak tenang sekiranya tidak dapat meluangkan masa bersama mereka.

image is not available

“Sebelum memulakan kerja di bengkel, saya akan pastikan semua ternakan diberi makan. Begitu juga selepas selesai kerja pada waktu petang.

“Saya akui aktiviti bersama mereka (haiwan ternakan) agak terbatas berbanding dahulu, namun saya cuba mencari masa sesuai kerana ia adalah sumber ketenangan diri,” katanya yang memiliki 80 ekor kerbau, 30 kambing dan tiga lembu.

Terdahulu, Syukor juga pernah membintangi telemovie ‘Budak Kuba’ bersama salah seekor kerbau kesayangannya yang bernama ‘Semek’.

Sumber: Astro Awani

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.