Ramai Tak Tahu, Ini Lagu Rasmi ASEAN & Kisah Di Sebalik Penciptaannya

WorldMusic
29 Oct 2025 • 12:28 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ramai Tak Tahu, Ini Lagu Rasmi ASEAN & Kisah Di Sebalik Penciptaannya

Minggu ini, seluruh dunia tertumpu kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober, Malaysia telah dipilih sebagai pengerusi, sekali gus menjadi tuan rumah bagi persidangan kali ini.

Banyak momen-momen yang mencuri tumpuan dalam persidangan tersebut. Dari celoteh pemimpin-pemimpin, sehinggalah ragam orang ramai.

Seperti yang diketahui, Sidang Kemuncak kali ini turut menampilkan penyanyi berbakat dari negara kita, Aina Abdul untuk menyanyikan lagu tema persidangan tersebut yang berjudul ASEAN Our Land, Our Home.

Bagaimanapun, pasti masih ramai yang belum tahu bahawa ASEAN sendiri mempunyai lagu tema rasmi yang sudah dicipta sejak sekian lama.

Mungkin jarang diketahui dan didengari, namun ada cerita di sebalik pemilihan lagu tema ini.

Lagu Tema ASEAN

Untuk pengetahuan, lagu yang bertajuk The ASEAN Way itu telah dicipta pada tahun 2008 melalui pertandingan lagu kebangsaan ASEAN.

Pertandingan tersebut selari dengan Perkara 40 Piagam ASEAN yang menetapkan bahawa ASEAN hendaklah mempunyai lagu kebangsaan.

Demi memilih komposisi lagu terbaik, pertandingan tersebut dianjurkan di seluruh rantau Asia Tenggara.

Daripada 99 finalis, lagu yang berjudul The ASEAN Way dari negara Thailand telah terpilih untuk menjuarai pertandingan tersebut.

Pemilihan lagu tersebut dilakukan hasil persetujuan panel hakim dari negara anggota ASEAN, China, Jepun dan Australia.

The ASEAN Way telah digubah oleh Kittikhun Sotprasoet dan Samprow Triudom, manakala liriknya pula ditulis oleh Payom Valaiphatchra.

Lagu ini pertama kali digunakan secara rasmi ketika Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 pada 28 Februari 2009 di Hua Tin, Thailand.

Lirik lagu ini menggambarkan perpaduan antara setiap ahli negara ASEAN. Bukan itu sahaja, ia juga mengukuhkan identiti dan kekitaan ASEAN dalam kalangan masyarakat di rantau ini.

Lirik lagu The ASEAN Way

Raise our flag high, sky high

Embrace the pride in our heart

ASEAN we are bonded as one

Look-in out to the world.

For peace, our goal from the very start

And prosperity to last.

We dare to dream we care to share.

Together for ASEAN

We dare to dream,

We care to share

For it’s the way of ASEAN.

Menurut portal ASEAN, lagu tersebut perlu digunakan dengan cara yang betul dan bermaruah.

Malah, bagi menghormati lagu ini, ia dilarang dimainkan sebagai propaganda politik dan tujuan komersial.

Sebaliknya, penggunaan lagu ini pada mesyuarat rasmi ASEAN dan aktiviti berkaitan serta majlis-majlis khas adalah digalakkan.