Ramai Tak Tahu, Minyak Wangi "Copy Ori" Ada Bahan Kimia Yang Boleh Jejas Kesihatan

Health & Fitness
10 Apr 2026 • 11:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ramai Tak Tahu, Minyak Wangi "Copy Ori" Ada Bahan Kimia Yang Boleh Jejas Kesihatan

Minyak wangi sering menjadi pilihan utama ramai orang untuk menyerlahkan keyakinan dan daya tarikan diri.

Dengan hanya beberapa semburan, ia bukan sekadar meninggalkan bau yang harum, malah mampu mencipta aura tersendiri yang membuatkan seseorang lebih yakin ketika berhadapan dengan orang lain.

Tidak hairanlah, ramai yang menjadikannya sebagai “sentuhan akhir” sebelum keluar rumah, sama ada untuk ke tempat kerja, majlis penting atau sekadar aktiviti harian.

Namun, tahukah anda terdapat bahan kimia berbahaya dalam minyak wangi yang anda sembur setiap hari?

Menurut hantaran Pusat Racun Negara di Facebook, terdapat lima bahan kimia berbahaya yang terkandung dalam kebanyakan minyak wangi, dengan ada antaranya sering dijadikan bahan utama dalam pembuatan minyak wangi tiruan.

Lima racun dalam minyak wangi anda, adakah anda tahu apa yang anda sembur?

Sebelum anda menyembur atau menyapu, ambil masa sejenak untuk mengenali lima 'rahsia' ini yang boleh menjejaskan kesihatan anda dalam jangka masa panjang.

Phthalate

Phthalate adalah bahan kimia yang biasa digunakan dalam industri minyak wangi sebagai pelarut dan penstabil bau.

Ia membantu minyak wangi bertahan lebih lama pada kulit dan pakaian.

Namun, beberapa jenis phthalate seperti dibutyl phthalate (DBP) dan diethylhexyl phthalate (DEHP) telah dikenal pasti sebagai pengganggu endokrin, yang boleh mengganggu keseimbangan hormon dalam badan.

Pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesuburan, kerosakan hati dan buah pinggang, serta kesan negatif terhadap perkembangan janin. Phthalates juga boleh menyebabkan reaksi alahan seperti ruam kulit, sesak nafas, dan migrain pada individu yang sensitif.

Paraben

Paraben ialah bahan pengawet yang digunakan untuk mencegah pertumbuhan bakteria dan kulat dalam produk kecantikan seperti losyen, syampu, dan minyak wangi.

Namun, paraben boleh menyerupai estrogen dalam badan, menyebabkan gangguan hormon yang dikaitkan dengan risiko kanser payudara dan gangguan reproduktif.

Walaupun hasil kajian masih bercampur, beberapa kajian telah menemui jejak paraben dalam tisu kanser payudara, mencetuskan kebimbangan tentang kaitan antara paraben dan kanser.

Benzene

Benzene adalah sebatian organik yang digunakan sebagai pelarut dalam beberapa minyak wangi murah atau palsu.

Ia juga boleh hadir sebagai bahan pencemar dalam bahan mentah yang berkualiti rendah.

Benzene adalah karsinogen yang diketahui dan dikaitkan dengan leukemia serta gangguan darah lain. Pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan sumsum tulang dan penurunan sistem imun.

Formaldehid

Formaldehid digunakan dalam minyak wangi murah sebagai bahan pengawet dan untuk meningkatkan ketahanan bau.

Ia adalah karsinogen yang dikaitkan dengan kanser hidung dan tekak.

Pendedahan boleh menyebabkan iritasi mata, hidung, dan tekak, serta alahan kulit dan serangan asma pada individu sensitif. Jika disedut dalam kuantiti tinggi, formaldehid boleh menyebabkan kerosakan paru-paru.

Metanol

Metanol sering digunakan dalam minyak wangi palsu sebagai alternatif murah kepada etanol (alkohol yang lebih selamat dalam kosmetik).

Metanol sangat toksik kerana ia akan diuraikan kepada asid formik di dalam badan, yang boleh menyebabkan kerosakan organ, buta, dan juga kematian.

Kesimpulan

Minyak wangi tiruan mungkin mengandungi bahan berbahaya seperti metanol, formaldehid, dan bahan kimia lain yang boleh mendatangkan risiko kesihatan, termasuk iritasi kulit, gangguan pernafasan, reaksi alahan, dan kesan toksik yang lebih serius.

Walaupun tidak semua minyak wangi tiruan mengandungi bahan-bahan ini, ketiadaan kawalan kualiti dan pematuhan terhadap piawaian keselamatan meningkatkan risiko pendedahan kepada bahan kimia berbahaya.

Langkah untuk mengurangkan risiko keracunan:

  • Pilih minyak wangi daripada jenama yang dipercayai

  • Elakkan minyak wangi tiruan atau tanpa label bahan kandungan

  • Tingkatkan kesedaran mengenai potensi bahaya bahan kimia dalam produk harian dan buat pilihan yang lebih selamat.

Baca juga: