
PUTRAJAYA – Ketika kebanyakan warga Putrajaya berehat pada lewat malam hujung minggu, beberapa laluan utama pula bertukar menjadi litar lumba haram.
Tinjauan Kosmo! sekitar pukul 2.30 pagi baru-baru ini mendapati, beberapa penunggang motosikal memecut dan bersaing antara satu sama lain di Lebuh Sentosa, selain melakukan aksi ‘superman’.
Deruman bunyi ekzos yang kuat turut kedengaran, dengan kumpulan penunggang motosikal mula memasuki Putrajaya sejak lewat malam sebelum berkumpul dan melepak di sekitar kawasan pejabat pentadbiran kerajaan.
Aktiviti itu semakin ketara pada malam hujung minggu berbanding hari biasa, dengan antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Persiaran Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Sentosa, Lebuh Saujana dan Jalan Tun Hussein Onn.
Seorang penduduk, Jamil, 48, berkata, kegiatan itu mengganggu ketenteraman penduduk apabila bunyi ekzos mula kedengaran pada lewat malam.
“Biasanya pukul 12 tengah malam sudah mula kedengaran bunyi motor. Setiap hujung minggu memang ada, cuma bukan setiap malam mereka berlumba.
“Sebahagian budak-budak ini datang dari luar dan mungkin memilih kawasan ini kerana jalan yang lengang pada waktu malam,” katanya.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Azhar, 54, berkata, jalan lengang pada waktu malam menjadi antara faktor tarikan mat rempit ke Putrajaya.
“Aktiviti seperti ini sepatutnya dicegah dari awal. Jangan tunggu sampai berlaku kemalangan maut atau ada orang cedera baru tindakan diambil,” katanya.
Tambahnya, Putrajaya sepatutnya kekal sebagai kawasan yang selamat untuk penduduk dan pengunjung, selain menjadi lokasi riadah keluarga.
The post Ramai tak tahu Putrajaya ada litar lumba appeared first on Kosmo Digital.

