“Ramai Tak Tahu, Teknologi Nuklear Sebenarnya Dah Lama Bantu Hidup Kita”, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia

TechnologyDigital
15 Oct 2025 • 5:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“Ramai Tak Tahu, Teknologi Nuklear Sebenarnya Dah Lama Bantu Hidup Kita”, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia

Ramai bila dengar perkataan nuklear, terus terbayang benda berbahaya, radiasi dan letupan. Tapi hakikatnya, teknologi nuklear dah lama jadi sebahagian daripada kehidupan kita tanpa disedari daripada makanan yang kita makan, tanaman yang kita tuai, sampailah rawatan perubatan di hospital.

Itu antara perkara yang dikongsikan oleh Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, dalam satu sesi temubual bertajuk “Nuklear dan Masa Depan Negara.”

image is not available

Dr. Muhammad Rawi bukanlah nama asing dalam dunia sains dan teknologi nuklear negara. Beliau telah berkhidmat lebih tiga dekad di Agensi Nuklear Malaysia, bermula sebagai Pegawai Penyelidik sebelum kini memegang tampuk tertinggi sebagai Ketua Pengarah.

Dalam sesi temubual, beliau melahirkan rasa syukur atas amanah yang dipikul:

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan menjadi Ketua Pengarah, apatah lagi di sebuah agensi penyelidikan nuklear. Ini satu tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat.”

Dari segi akademik, Dr. Rawi memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Fizik Gunaan) dari Universiti Sains Malaysia (USM), diikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan dan Mekanik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan akhirnya Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fizik dari Keele University, England.

Kajian peringkat sarjananya melibatkan pembangunan kod komputer untuk pemodelan finite element bagi memahami kriteria patah dan pergerakan retak dalam bahan, bidang yang amat penting dalam kejuruteraan dan keselamatan bahan nuklear.

Beliau juga pernah menjalankan penyelidikan di beberapa kemudahan nuklear antarabangsa seperti Japan Research Reactor 3M (JRR3M) di Jepun, reaktor Sewabesi di Serpong, Indonesia, serta European Synchrotron Research Facility (ESRF) di Grenoble, Perancis.

Sepanjang kerjaya, Dr. Rawi pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Seksyen Fizik Nuklear dan Reaktor, Pengurus Reaktor TRIGA PUSPATI, Pengarah

Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Pengarah Bahagian Teknologi Sinaran, dan Timbalan Ketua Pengarah (Program Teknikal dan R&D Teknologi).

image is not available

Beliau turut mewakili Malaysia dalam pelbagai program antarabangsa di bawah kelolaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Perjanjian Kerjasama Serantau (RCA) dan Forum Kerjasama Nuklear di Asia (FNCA). Pengalaman luas ini menjadikan beliau antara tokoh penting dalam pembangunan teknologi nuklear negara.

Nuklear Untuk Rakyat

Di bawah kepimpinan Dr. Rawi, Agensi Nuklear Malaysia membawa tema “Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R.)” bagi memastikan hasil penyelidikan nuklear memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Antara kejayaan besar ialah penghasilan benih padi NMR152, hasil teknologi isotop, yang mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 50%. Ia membantu petani tempatan meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.

image is not available

Dalam bidang kesihatan, teknologi nuklear digunakan untuk mengesan dan merawat penyakit seperti kanser dan jantung, manakala dalam industri, ia membantu mengesan kebocoran paip minyak dan gas, serta mensterilkan sarung tangan perubatan yang merupakan satu proses penting yang digunakan secara besar-besaran di Malaysia.

Mitos Bahaya Nuklear

Menurut Dr. Rawi, ramai masih menganggap nuklear itu berbahaya. Sedangkan semua aktiviti berkaitan dikawal selia ketat di bawah Akta 304 (Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984) dan dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Keselamatan adalah keutamaan utama kami. Setiap penggunaan bahan radioaktif dikawal sepenuhnya. Kalau tidak selamat, tentu kami takkan benarkan ia digunakan di hospital atau kilang,” katanya.

image is not available

Arah Tuju Masa Depan

Melalui Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, kerajaan menyasarkan penerapan teknologi nuklear dalam sektor strategik seperti makanan, kesihatan, industri dan tenaga. Menariknya, eksport produk berasaskan teknologi nuklear Malaysia kini sudah mencecah RM4.6 bilion (2021–2024), jauh melebihi jangkaan awal.

“Kalau dulu kita cuma penerima teknologi, sekarang kita dah jadi negara penyumbang kepakaran. Nuklear bukan musuh — ia alat untuk kesejahteraan rakyat,” ujar Dr. Rawi penuh semangat.

image is not available