Antara 5 Perkataan Lama Melayu Yang Makin ‘Hilang’, Tapi Sebenarnya Cantik Gila Maksudnya

14 Oct 2025 • 6:07 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Antara 5 Perkataan Lama Melayu Yang Makin ‘Hilang’, Tapi Sebenarnya Cantik Gila Maksudnya

Dalam kekalutan kita mengejar zaman moden yang penuh dengan segala kecanggihan dan teknologi, tanpa sedar penggunaan bahasa Melayu semakin pudar pada masa kini. Buktinya, banyak perkataan indah dalam bahasa Melayu yang semakin perlahan-lahan mula tenggelam. Jika dulu, kata-kata ini sentiasa hidup di dalam pantun, surat cinta dan karya sastera, iaitu medium orang dulu untuk menyampaikan sesuatu kepada seseorang atau pihak lain.

Kini, perkataan-perkataan itu semakin jauh daripada bibir anak-anak muda. Mungkin kita boleh anggap perkara ini sebagai satu kerugian kerana perkataan-perkataan lama menyimpan makna yang sangat halus dan indah. Penggunaan bahasanya halus, tapi sudah cukup untuk menyampaikan pelbagai maksud.

Jadi, artikel ini akan mengimbas semula antara 5 perkataan lama Melayu yang makin pudar penggunaannya.

Gemersik

Maksud: Bunyi halus lembut seperti geseran daun, kain atau angin.

Sebagai contoh ayatnya, “Gemersik daun bambu dihembus bayu malam”. Ayat ini dilihat cantik sebab ia bukan sekadar ‘bunyi’ tapi turut wujudkan rasa dan suasana.

Rindu Rawan

Maksud: Rasa rindu yang bercampur sayu, sedih dan pilu, perasaan yang dalam dan lembut.

Sebagai contoh ayatnya, “Rindu rawan pada si cantik yang telah lama tidak saya temui”. Ayat ini dikategorikan sebagai cantik dan puisi kerana menyampaikan emosi halus orang Melayu bagi menyampaikan perasaannya.

Lestari

Maksud: Kekal, tetap, berpanjangan

Sebagai contoh ayatnya, ‘Cintaku pada si dia sememangnya kekal lestari sampai bila-bila’. Ayat ini juga memberi nada mendalam, yang mana bukan sekadar ‘kekal’ tapi turut ditemani makna yang lebih indah dan besar.

Kelana

Maksud: Pengembara, orang yang mengembara tanpa tujuan tetap

Sebagai contoh ayatnya, ‘Si kelana itu terus berjalan mencari susur galur kehidupannya’. Ayat ini dikategorikan indah sebab membawa maksud jiwa bebas, dan sangat sesuai dalam karya puitis.

Seraut

Maksud: Satu bentuk yang nipis atau lapisan kecil, kerap digunakan untuk menggambarkan wajah atau perasaan.

Sebagai contoh ayatnya, “Terlihat seraut wajah pilu dalam dirinya, cukup untuk gambarkan perasaannya sekarang”. Ayat ini ringkas tapi mampu menggambarkan imej dengan sangat visual dan halus.

5 perkataan lama Melayu gambarkan keindahan bahasa

Lima perkataan yang disenarai di atas ini bukanlah sekadar rangkaian huruf, tapi dijadikan cerminan halus jiwa bangsa. Perkataan ini juga mampu untuk menggambarkan penggunaan bahasa sangat penting dalam diri setiap orang. Disebabkan itu jugalah kita disarankan sentiasa menghargai bahasa dan menggunakan dengan sebaiknya.

Itu jugalah usaha yang kita perlu tekankan, terutamanya pada Bulan Kebangsaan 2025 ini. Bulan Bahasa Kebangsaan bukanlah hanya untuk meraikan bahasa, tapi juga untuk menghargai bahasa sendiri supaya sentiasa kekal relevan sehingga bila-bila.

image is not available

Pelancaran Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan

Pada 12 Oktober, boleh dikatakan sebagai satu tarikh keramat di mana Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 telahpun dilancarkan dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya. YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor telah merasmikan dan melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 pada hari itu. Acara yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Pendidikan YBHG Dato’ TS Dr. Aminuddin Bin Hassim ini telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkasa bahasa Melayu dan menyemai rasa cinta terhadap bahasa di kalangan rakyat Malaysia.

KPM Sentiasa Menyokong Usaha Semai Rasa Cinta Terhadap Bahasa

Hadirnya Ketua Setiausaha Pendidikan juga boleh dianggap sebagai simbolik sokongan yang disuarakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyemai rasa cinta terhadap bahasa, bersesuaian dengan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 ini. Namun, usaha itu bukan baru saja bermula, tapi telah ada pelbagai acara dan program yang diatur KPM sebelum ini.

image is not available

Antaranya pada September lalu, KPM menganjurkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 sempena Dekad Bahasa Kebangsaan dan Program PETAH Kementerian Pendidikan (KPM). Antaranya yang menarik perhatian ramai adalah Pertandingan Peringkat Akhir Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025. Pelbagai hujah, pelbagai gaya bahasa dan pelbagai keindahan bahasa dapat ditonjolkan melalui program ini. YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga turut hadir menyaksikan pertandingan akhir itu cukup kagum dengan kehebatan anak-anak yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

image is not available

Menurut beliau, pertandingan debat ini sangat unik kerana mewajibkan penyertaan murid pelbagai kaum dan etnik bagi menterjemahkan aspirasi Generasi MADANI yang ada nilai hormat, keyakinan dan bersatu padu.

Tambah YB Fadhlina di laman Facebook miliknya, ada banyak acara menarik dianjurkan sepanjang Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 sempena Dekad Bahasa Kebangsaan dan Program PETAH Kementerian Pendidikan (KPM).

“Semua ini dilakukan bagi memupuk rasa bangga serta memperkukuh jati diri dan citra bangsa Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan”

image is not available

Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama memelihara segala keunikan bahasa dan sentiasa mempraktikkannya tidak kira di mana kita berada. Antara lima perkataan lama yang disenaraikan dalam artikel ini juga boleh digunakan dalam percakapan seharian, supaya setiap ayat yang dituturkan menjadi lebih indah.

Sebenarnya pelbagai lagi usaha KPM dan Kerajaan untuk memartabatkan bahasa dalam kalangan rakyat. Jadi untuk korang dapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, boleh rujuk pada laman sosial KPM sentiasa untuk sebarang kemaskini yang terbaru.