Ramai Terkejut, Aksi Hebat JDT Lawan Chelsea Jadi Tumpuan Peminat Dunia

LocalFootball
10 Aug 2026 • 10:02 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Ramai Terkejut, Aksi Hebat JDT Lawan Chelsea Jadi Tumpuan Peminat Dunia

Ramai Terkejut, Aksi Hebat JDT Lawan Chelsea Jadi Tumpuan Peminat Dunia

Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir mencipta kejutan apabila mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea 3-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa pramusim di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.

Meskipun berdepan barisan The Blues yang banyak menampilkan pemain muda selepas kebanyakan tonggak utama tidak diturunkan ketika menentang AC Milan Sabtu lalu, JDT sebaliknya turun dengan skuad utama dan tampil tanpa rasa gentar berdepan kelab dari London itu.

Lebih mencuri tumpuan apabila Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi berjaya menjaringkan gol pendahuluan buat JDT, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Chelsea kemudian bangkit menerusi dua sepakan penalti yang disempurnakan Liam Delap untuk membolehkan skuad kendalian Xabi Alonso itu mendahului 2-1.

Namun, JDT enggan mengalah apabila sepakan percuma Oscar Arribas terkena benteng pertahanan Chelsea sebelum bola menerjah gawang, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.

Tidak berhenti di situ, penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva, kemudian muncul sebagai wira Harimau Selatan apabila meledakkan gol ketiga JDT untuk meletakkan tuan rumah di depan 3-2.

Ketika JDT semakin hampir mencipta kemenangan sensasi, nasib ternyata tidak menyebelahi Harimau Selatan apabila Antonio Glauder tertampan bola ke gawang sendiri pada lewat permainan, sekali gus membolehkan Chelsea menyamakan kedudukan 3-3.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat, namun persembahan JDT yang berani dan tidak sekadar bertahan nyata mencuri perhatian.

Baca juga:

JDT buat peminat terpukau

Sementara itu, ruang media sosial pula dibanjiri dengan pelbagai reaksi peminat yang memuji persembahan JDT.

Malah ada yang terkejut melihat kelab tempatan itu mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan dari pentas bola sepak Eropah.

Keberanian JDT bermain secara terbuka, melakukan serangan balas dan beberapa kali mengancam gawang Chelsea turut mendapat pujian, dengan penyokong menganggap Harimau Selatan tampil jauh lebih kompetitif daripada yang dijangka.

Ada yang menyifatkan aksi tersebut sebagai bukti bahawa kelab dari Malaysia juga mampu bersaing apabila berdepan pasukan bertaraf dunia, manakala sebahagian lagi memuji disiplin dan keyakinan pemain JDT sepanjang perlawanan.

Image from: Ramai Terkejut, Aksi Hebat JDT Lawan Chelsea Jadi Tumpuan Peminat Dunia
Kredit: Threads @frisimran._

Walaupun Chelsea tidak menurunkan sebahagian besar tonggak utama, keputusan 3-3 itu tetap dianggap membanggakan buat JDT selepas mereka bukan sahaja berjaya menjaringkan tiga gol, malah mendahului Chelsea sehingga beberapa minit sebelum wisel penamat.

Lebih menarik, perlawanan tersebut turut mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan apabila aksi JDT menjadi antara perkara yang paling banyak mendapat perhatian selepas perlawanan.

Dalam hantaran di twitter Chelsea misalnya, ramai peminat The Blues meraka terkejut dan melihat perlawanan persahabatan tersebut telah mendedahkan ketempangan yang ada pada skuad kesayangan mereka.

Persembahan kurang memuaskan beberapa pemain yang beraksi semalam turut dibincangkan hingga ada menyarankan nama-nama tersebut segera dijual.

Bagi peminat JDT, keputusan itu mungkin bukan kemenangan, tetapi persembahan yang dipamerkan Harimau Selatan sudah cukup untuk membuatkan ramai berbangga.

Malam yang sepatutnya menjadi pentas Chelsea, akhirnya turut menjadi malam JDT mencuri perhatian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved