
ISKANDAR PUTERI – Aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea yang berakhir 3-3 malam ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak di media sosial.
Sebahagian peminat menyifatkan aksi persahabatan antarabangsa itu terlalu agresif, malah mendakwa beberapa pemain JDT bermain kasar ketika berdepan barisan pemain Chelsea yang rata-ratanya masih muda.
Komen berhubung perkara itu membanjiri platform Threads selepas tamat perlawanan, dengan ada peminat meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pemain Chelsea yang dikatakan berdepan beberapa cabaran keras.
Seorang pengguna, @weebro_, menyifatkan aksi JDT sebagai membimbangkan dari aspek kesukanan dan mendakwa Chelsea mungkin serik untuk kembali mengadakan perlawanan persahabatan di Malaysia selepas ini.
“Dengan sportsmanship dan kekasaran yang ditunjukkan pemain JDT malam ini, aku tak rasa Chelsea akan datang Malaysia dah lepas ni. Buat malu je,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @a_sidir_, pula berpendapat pemain JDT mungkin terlalu bersemangat dalam aksi tersebut, sambil mempersoalkan beberapa aksi fizikal yang berlaku terutama ketika berdepan pemain Chelsea seperti Liam Delap, Tosin Adarabioyo dan Nicolas Jackson.
Pada masa sama, terdapat peminat yang cuba mempertahankan JDT dengan menjelaskan corak permainan berintensiti tinggi yang diamalkan pasukan itu sememangnya berasaskan tekanan tinggi dan tidak semestinya bertujuan mencederakan pihak lawan.
“JDT memang style macam tu kan? Sejak ACL main high pressing, standardlah risk macam tu,” kata seorang pengguna, @Urnashh, dalam satu komen.
Namun, komen balas daripada @Heluminati menyifatkan alasan berkenaan tidak memadai kerana Chelsea dikatakan perlu menjaga kecergasan pemain menjelang musim baharu EPL yang bakal bermula, malah menganggap JDT bermain seolah-olah dalam perlawanan kompetitif.
Dalam pada itu, ada juga peminat yang menganggap perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan sepatutnya menjadi peluang untuk menikmati aksi bola sepak dan memberi pendedahan kepada pemain tempatan, bukannya mencetuskan kontroversi berkaitan kekasaran.- KOSMO! ONLINE
The post Peminat kecam JDT didakwa main kasar ketika ikat Chelsea 3-3 appeared first on Kosmo Digital.





