
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap umat Islam pasti menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah apabila diberikan rezeki kelak.
Namun umum mengetahui kos untuk terbang ke Tanah Suci bagi melakukan umrah adalah tidak murah bahkan ada yang mencecah belasan ribu ringgit mengikut pakej yang ditawarkan untuk tempoh sekitar 9 hingga 14 hari.
Kebiasaannya ada pakej yang akan berada seminggu di Madinah dan seminggu lagi di Mekah. Bagi mereka yang berkemampuan mungkin wang tidak menjadi masalah, namun ada segelintir yang mahu berjimat kerana mempunyai komitmen lain atau mahu melakukan ibadah umrah itu bersama keluarga yang lain.
Oleh itu, kos yang perlu dikeluarkan pastinya besar. Akan tetapi sejak akhir-akhir ini ramai yang melakukan umrah secara DIY (Do-it-yourself) di mana segalanya diuruskan sendiri termasuklah vaksin, visa, tempat tinggal, tiket penerbangan dan sebagainya.
Lelaki kongsi kos buat umrah DIY RM20,000 selama 21 hari
Baru-baru ini, seorang lelaki turut tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pengalamannya melakukan umrah DIY dengan membawa isteri dan juga anak-anaknya selama 21 hari.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Muhd Syafiq Idris di Threads, dia enam sekeluarga telah berkunjung ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah termasuklah anak-anak yang masih kecil.
“Aku baru selesai umrah diy selama 21 hari bersama keluarga enam orang. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda. Kos keseluruhan (ground) RM19,857,” katanya.
7 hari di Mekah dan 14 hari di Madinah
Menurut Muhd Syafiq, di Mekah mereka tinggal selama 7 hari dan 14 hari pula di Madinah. Katanya, dia juga membawa anak-anak yang berusia 7, 4 dan 2 tahun.
Muhd Syafiq turut memaklumkan mereka memilih untuk meluangkan masa lebih lama di Madinah kerana suasananya yang tenang.
“Kami memasuki Jeddah dahulu, berniat ihram di Qarnul Manazil (atas kapal terbang) dan seterusnya ke Mekah menaiki Airport transfer sekitar 190 SAR (RM206).
Sewa apartmen ketika di Mekah dan Madinah
Dari segi penginapan pula, katanya dia menginap di apartmen. Sewaktu berada di Mekah dia telah menyewa apartmen yang terletak di Aziziyah di mana jaraknya sekitar 5 kilometer (km) dari Masjidil Haram.
Apartmen yang disewa juga selesa kerana mempunyai empat buah bilik tidur yang lengkap dengan ruang tamu, dapur dan alat membasuh baju (laundry).
Manakala di Madinah pula apartmen yang disewa juga tidak jauh daripada Masjid An-Nabawi sekitar 3km dan mempunyai dua bilik tidur selain lengkap dengan kemudahan seperti taman mainan dan pasar raya.
View on Threads
Masak makanan di apartmen atau makan di luar
Jelas Muhd Syafiq lagi, dari segi makanan memandangkan mereka menyewa di apartmen maka ada ketikanya dia memilih untuk memasak. Malah rumah yang disewa juga mempunyai kelengkapan dapur selain mengatakan ada membeli barangan basah termasuklah ayam dan daging mentah di pasar raya berdekatan.
“Ada masa kami masak tetapi kebanyakan masa kami makan di luar. Tak banyak beza sebab harga makanan di Saudi masih lagi secara relatifnya murah.”
Naik van untuk travel dari Mekah ke Madinah
Berkongsi lanjut, mereka telah mengunakan perkhidmatan van untuk perjalanan dari Mekah ke Madinah.
“Dari Mekah, kami order van untuk ke Madinah dengan harg 350 SAR (RM380) dari pintu ke pintu. Perjalanan tidak lebih lima jam, kenapa tak naik keretapi? Kurang sesuai kerana beg kami banyak dan kami perlu naik teksi ke stesen. Lebih selesa naik van.
“Sewa kereta dan pandu sendiri di Madinah. Di Madinah, aku sewa kereta dari Enterprise selama 14 hari, dengan kos RM1,655 termasuk CDW Zero Excess. Ini term (syarat) sewa kereta, korang wajib tahu (boleh google sendiri). Kos minyak selama 14 hari ialah 100 SAR (RM 108.62). Anda perlu ada lesen memandu original (fizikal) dan antarabangsa (IDP),” katanya lagi.
Kongsinya lagi dari segi parkir di Masjid An-Nabawi pula, ia adalah mudah kerana masjid tersebut ada menyediakan parkir bertingkat di bawah tanah.
Malah jika ada jemaah yang datang sedikit lambat juga masih boleh mendapatkan parkir di masjid terbabit.
“Kecuali pada hari Khamis, sebelum waktu maghrib dan solat Jumaat. Anda kena datang awal. Bayar parkir wajib guna aplikasi Magwif. Aplikasi ni macam Touch N Go, e-wallet.”
Kos umrah DIY merangkumi beberapa perkara
Dalam hantaran yang dikongsikan itu, Muhd Syafiq turut berkongsi semua kos tersebut antaranya seperti:
- Vaksin (untuk 6 individu) = RM900
- Tourist E-Visa (5 INDIVIDU) = RM2,184
- Visa umrah (1 pax) = RM660
- Apartmen di Mekah selama enam malam = RM3,813
- Apartmen di Madinah selama 14 malam = RM5,720
- Airport transfer dari Jeddah ke Mekah = RM206
- Airport transfer dari Mekah ke Madinah = RM380
- Menaiki e-hailing di Mekah selama 7 hari = RM840
- Sewa kereta di Madinah selama 14 hari = RM1,655
- Minyak petrol = RM108.62
- Tiket parkir di Masjid An Nabawi = RM133
- Makan = RM3,258
View on Threads
Tak termasuk kos penerbangan
Walau bagaimanapun, jumlah kos yang disenaraikan tidak termasuk dengan tiket penerbangan. Menerusi satu lagi hantaran dikongsikan, Muhd Syafiq menunjukkan anggaran tiket penerbangan sekitar RM2,400 ke RM3,000.
View on Threads
Umrah DIY terdedah kepada tiga risiko
Pun begitu, sebelum ini Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, pernah mengingatkan bahawa mengerjakan umrah DIY boleh mendedahkan jemaah kepada tiga jenis risiko terutamanya dalam isu membabitkan masalah kesihatan, kes hilang atau kematian.
Jelas beliau, penilian risiko jarang diperhalusi memandangkan kebanyakan jemaah yang menggunakan kaedah itu lebih mengutamakan kos yang murah.
“Ada macam-macam alasan jemaah pergi dengan diuruskan sendiri. Ada yang inginkan keselesaan, iaitu waktu yang fleksibel tanpa perlu ikut jadual diatur oleh agensi umrah.
“Selain itu, ada yang mahu jimatkan kos dengan menempah hotel dan tiket kapal terbang beberapa bulan lebih awal untuk dapat harga lebih murah.
“Inilah masalahnya bila mereka tak nampak ada perkara yang tak diduga berlaku misalnya dalam kes jemaah hilang, sukar untuk jejaki mereka,” katanya dipetik BH.
Sehubungan itu, beliau menyarankan bakal jemaah untuk membuat pertimbangan rapi dari segi risiko kecemasan sekiranya membabitkan perjalanan sendirian atau dalam kumpulan kecil.
Sebagai info, umrah DIY semakin menjadi trend di Malaysia selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan visa pelancongan untuk rakyat Malaysia dan Brunei bermula 2018.
Melihat di ruangan komen, ramai yang berterima kasih atas perkongsian itu selain menyidatkan ia adalah jumlah kos yang berpatutan.
“Insha-Allah Julai tahun ni umrah DIY”

“Bang serious lah 21 hari, murahnya bang. Terima kasih tunjuk ajar, saya memang tengah survey umrah DIY dengan keluarga”

“Semoga saya pun berjaya ke sana bersama keluarga, amin”

“Terima kasih atas ilmu yang dikongsikan. Ilmu yang bermanfaat menjadi bekalan tuan di sana. Insha-Allah.”


